Berang anak bergaduh, wanita mengandung maki jiran didenda RM100

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Gara-gara mengeluarkan perkataan kesat kepada jiran kerana berang anak-anak mereka bertengkar, seorang wanita sarat mengandung didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

M Rita Mary, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua hari jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada jirannya, seorang wanita, V Furkadevi, 31.

Kesalahan dilakukan di sebuah Flat Program Perumahan Rakyat (PPR), Kota Damansara pada jam 10 malam, 7 April lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan yang boleh di hukum di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu (suami mangsa) berada lokasi kejadian, berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki dan tertuduh.

Ia berpunca daripada anak pengadu yang berusia lapan tahun bertengkar dengan anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Suraj Singh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan sarat mengandung hampir sembilan bulan selain perlu menyara lima anak yang masih kecil.

"Akibat kejadian ini, dia direman dua hari maka saya percaya ia sudah memberi pengajaran kepadanya supaya tidak mengulangi perbuatan sama pada masa depan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!