Empat rumah dua tingkat musnah terbakar
KEPALA BATAS - Empat rumah dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Kuala Muda di Penaga, di sini pada Khamis.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysi (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 6.49 pagi sebelum jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik pihak bomba tiba, api sedang marak dan empat rumah dua tingkat dengan bahagian bawah batu manakala bahagian atas papan yang terletak bersebelahan dengan setiap satunya berkeluasan kira-kira 56 meter persegi itu telah terbakar.
"Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke beberapa rumah lain yang terdapat di kawasan tersebut dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8 pagi," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dan mangsa yang cedera dalam kebakaran itu kerana sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain.
Menurutnya operasi pemadaman kebakaran itu melibatkan lebih 50 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda, Kepala Batas dan Bertam serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela berdekatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!