Akid kini sudah bergelar penyanyi
KOTA BHARU - Seorang remaja dari Kampung Banggol di sini, Wan Akid Afham Wan Mohd Ruhsemadi, 13, yang tular menerusi aplikasi TikTok disebabkan kemiskinan hidup keluarganya sehingga mengundang sebak warganet kini sudah bergelar penyanyi.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang itu kini menjadi penyanyi undangan untuk lagu raya berjudul 'Moleklah Beraya' ciptaan komposer dan penyanyi tersohor tanah air, Eddie Hamid manakala dan liriknya oleh Harisz Ab Rahman.
Eddie Hamid berkata, penampilan istimewa Akid itu bertujuan memberikan kegembiraan kepada remaja berkenaan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
"Saya akui cabaran yang dihadapi oleh Akid cukup besar (kemiskinan hidup). Jadi sebab itulah saya jemput Akid untuk menyanyi bersama dengan hasrat supaya dia dapat melupakan segala kesedihan yang terpaksa ditanggung sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Menurutnya, walaupun kali pertama Akid masuk studio namun remaja berkenaan berjaya menyanyi dengan baik selepas diberikan tunjuk ajar.
Beliau berkata, walaupun malu pada awalnya namun Akid semakin selesa sehingga proses rakaman lagu itu dapat diselesaikan dengan sempurna.
Eddie Hamid yang terkenal dengan lagu-lagu cinta dan 'tangkap leleh' itu berkata, lagu raya tersebut dibuat khusus untuk penyampai stesen radio Molek.FM.
"Antara penyampai yang terlibat dalam menyanyikan lagu 'Moleklah Beraya' ini ialah Fizie, Camelia, Mek Zura, Rosalinda dan saya sendiri," katanya.
Video rakaman lagu raya melibatkan Akid itu tular menerusi aplikasi TikTok selepas dimuat naik oleh Eddie Hamid.
Sinar Harian pada 9 April lalu melaporkan, seorang remaja dari Kampung Banggol di sini, yang tular menerusi aplikasi TikTok disebabkan kesusahan hidup pada Khamis sehingga mengundang sebak warganet mengakui pernah dihina oleh rakan-rakan sekolah dek kerana kemiskinan hidup yang membelenggu keluarganya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!