Daftar masuk MySejahtera masih relevan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Fungsi daftar masuk di aplikasi MySejahtera masih relevan dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencegah penularan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semasa kemuncak jangkitan varian Omicron baru-baru ini, sebanyak 45 peratus kontak kasual didapati positif Covid-19.
"Nak kata tidak relevan, saya tidak bersetuju kerana MySejahtera masih mempunyai nilainya sebagai alat untuk mengesan kontak," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, KKM akan membuat keputusan keperluan mengimbas daftar masuk ke premis dalam tempoh dua minggu lagi memandangkan negara sudah pun melepasi kemuncak jangkitan Omicron.
Daftar masuk menerusi MySejahtera masih diwajibkan meskipun negara sudah memasuki peralihan fasa endemik bermula 1 April lalu.
Ia dikecualikan bagi kawasan luar seperti taman awam.
Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebelum ini menyerahkan kepada KKM untuk mempertimbangkan keperluan penggunaan fungsi daftar masuk MySejahtera ke mana-mana premis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!