Penduduk nafi abaikan kebersihan, sebabkan pencemaran laut

Aktiviti gotong royong dan menanam pokok sentiasa dianjurkan bagi menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan pantai.
Aktiviti gotong royong dan menanam pokok sentiasa dianjurkan bagi menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan pantai.
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Penduduk Kampung Warisan Tanjung Tokong menafikan dakwaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menggambarkan penduduk di situ pengotor dan menyebabkan pencemaran laut.

Setiausahanya, Syahifah Hawa Zamzuri berkata, dakwaan jahat itu sengaja mahu memburukkan penduduk komuniti nelayan di sini sedangkan penduduk tidak pernah mengabaikan aspek kebersihan dan kelestarian kawasan pantai.

Menurutnya, setiap rumah di sini mempunyai tangki septik sendiri malah setiap enam bulan atau tangki penuh penduduk akan memanggil kontraktor Indah Water Konsortium (IWK) untuk menjalankan perkhidmatan pembentungan.

"Dakwaan mereka dusta semata-mata malah bukan kami tidak tahu NGO yang memberi ulasan itu sebenarnya cenderung dan penyokong kerajaan negeri.

"Saya alu-alu kan mereka atau mana-mana pihak untuk datang ke sini dan periksa kalau betul ada air kumbahan yang terus dibuang ke pantai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Syahifah Hawa berkata, sekiranya isu itu dijadikan hujah untuk mencari salah penduduk kampung di sini, bagaimana pula dengan saluran air parit dan longkang yang terus di salurkan ke laut.

Beliau turut mempertikaikan keadaan penduduk di kawasan Jeti Chew sama ada air kumbahan mereka diuruskan dengan baik atau dibuang terus ke laut.

Artikel Berkaitan:

Perkhidmatan pembentungan dilakukan setiap enam bulan atau apabila tangki septik penduduk penuh.
Perkhidmatan pembentungan dilakukan setiap enam bulan atau apabila tangki septik penduduk penuh.

"Adakah kami di sini sanggup membiarkan perkampungan warisan yang menjadi tempat tinggal kotor begitu sahaja? Adakah kami tergamak untuk menyebabkan pencemaran laut sedangkan di situ tempat kami mencari rezeki?

"Sudah sekian lama kami di sini malah boleh dikatakan penduduk di sini sentiasa bekerjasama dalam memastikan kebersihan kawasan pantai Tanjung Tokong dan sekitar terpelihara dengan menjalankan aktiviti gotong royong, menanam pokok dan banyak lagi," jelasnya.

Dalam pada itu, Syahifah Hawa turut menzahirkan rasa syukur apabila Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin tampil mempertahankan penduduk.

Jelasnya, apa yang dibangkitkan Norlela adalah tepat dengan tanggungjawabnya sebagai Exco yang menguruskan portfolio yang diamanahkan kerajaan negeri.

Malah tegasnya, kerajaan negeri seharusnya mengambil kira pandangan Norlela yang amat bimbang aktiviti nelayan pantai tradisional di negeri ini mungkin akan pupus sekiranya tindakan penguatkuasaan tetap diambil terhadap Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong.

Sebelum ini, Norlela berkata, tindakan merobohkan struktur hanya memberi impak hilangnya perkampungan nelayan sedangkan ketika ini cuma tinggal dua penempatan nelayan di Daerah Timur Laut iaitu di Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!