Loy Sian yakin pertahan jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya
SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian yakin mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Petaling Jaya dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Pemilihan PKR 2022 menyaksikan Loy Sian bakal ditentang oleh ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri bersama ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan.
Loy Sian berkata, beliau terbuka menerima tentangan empat penjuru itu selari konsep demokrasi dibawa PKR yang mengadakan pemilihan setiap tiga tahun.
Menurutnya, bersaing sesama ahli adalah perkara biasa namun berharap semua calon bertanding secara secara sihat tanpa melibatkan serangan peribadi.
"Di Selangor semua cabang ada pertarungan kecuali Tanjung Karang. Ada yang bersaing tujuh hingga lapan penjuru, hanya Petaling Jaya empat penjuru.
"Saya anggap persaingan akan sengit namun saya yakin mampu mempertahankan jawatan saya sebagai Ketua Cabang di Petaling Jaya," katanya ketika ditemui pada program pelancaran aplikasi Go Selangor di Red Studio 2, I-City, pada Khamis.
Beliau berkata, calon mempunyai masa panjang iaitu kira-kira sebulan untuk berkempen dan menggalakkan anggota untuk mendaftar undi secara dalam talian di aplikasi Adil.
"Undian kali ini boleh dilakukan secara dalam talian dan fizikal. Undi secara fizikal pada 15 Mei manakala dalam talian dijalankan selama tiga hari iaitu bermula 18 Mei hingga 20 Mei.
"Kita galakkan anggota daftar menerusi aplikasi Adil sebelum 21 April bagi membolehkan mereka membuang undi secara dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal. Ia bersesuaian dengan situasi semasa Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!