Harga tiket mahal beri kesan sektor pelancongan di Sabah

Jafry (tengah) pada sidang akhbar di Kota Kinabalu ketika Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan, Kota Kinabalu pada Khamis.
Jafry (tengah) pada sidang akhbar di Kota Kinabalu ketika Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan, Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Harga tiket penerbangan yang melambung naik akan memberi kesan kepada sektor pelancongan di Sabah walaupun sempadan sudah dibuka sejak 1 April lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran pelancong sehingga 1.3 juta akan tiba atau melawat Sabah pada tahun ini.

Katanya, seperti yang diketahui Sabah hanya boleh diakses melalui penerbangan dan untuk itu kementerian perlu memberikan kerjasama yang begitu baik dengan mana-mana syarikat penerbangan.

"Tetapi kebelakangan ini, kita menerima rungutan daripada penumpang tentang kenaikan harga tiket yang begitu melambung sehingga 500 peratus menjelang perayaan

"Walaupun ini merupakan strategi perniagaan tetapi yang diputuskan jemaah menteri pada mesyuarat baru-baru ini, kerajaan negeri memandang serius dan kita minta kalau boleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melihat serta berbincang dengan operator-operator penerbangan ini.

"Kalau boleh tidak menaikkan harga yang begitu melambung naik sehingga mengakibatkan ramai pelancong dan juga kita punya rakyat yang mahu balik Sabah tergendala oleh kerana kenaikan harga," katanya dalam sidang akhbar ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan di sini pada Khamis.

Hadir sama Pembantu Menteri beliau, Datuk Joniston Bangkuai dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Mohd Yusrie Abdullah.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan hasil semakan harga penerbangan pada beberapa laman milik syarikat penerbangan di negara ini didapati tawaran harga begitu tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil contoh hari ini saja, penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau mencecah sehingga RM1,300, jadi ini terlampau tinggi.

"Biasa dalam RM300, RM100 lebih. RM200 pun sepatutnya tidak menjadi masalah, tetapi ini RM1,300 sangat melampau," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara itu disampaikan kepada Menteri Pengangkutan untuk diambil tindakan dan diperbaiki.

"Saya yakin dan percaya menteri yang berkenaan dan pihak berkaitan akan melihat perkara ini dan kita mengharapkan ia dapat diperbaiki.

"Untuk datang ke Sabah, hanya melalui akses penerbangan dan kalau kita gagal menggunakan akses ini dengan harga yang begitu meningkat dan sebagainya ia akan menjejaskan kehadiran pelancong.

"Kita baru saja terlepas daripada perintah kawalan pergerakan (PKP), ekonomi yang teruk dan kalau kita naikkan harga tiket penerbangan ini sudah tentu menjejaskan industri pelancongan kita dan mungkin akan menjejaskan kehadiran pelancong ke Sabah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!