JDT tidak pandang rendah Guangzhou
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak akan memandang rendah cabaran skuad kedua Guangzhou FC, apabila kedua-dua kelab bertemu pada perlawanan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 di Stadium Sultan Ibrahim malam Jumaat, kata Pengendali JDT, Benjamin Mora.
Beliau berkata, bagi Harimau Selatan, juara lapan kali Liga Super China itu masih dianggap sebagai lawan yang sukar walaupun mereka tidak membariskan skuad utama.
"Saya tidak mahu melihat dari segi mereka itu muda atau tidak, sebaliknya saya melihat dari pandangan sama ada mereka pemain yang bagus atau tidak, dan ia tiada kena mengena dengan umur mereka.
"Kita tidak boleh anggap mereka muda dan kurang berpengalaman, sebaliknya pemain muda lebih dahagakan kejayaan,” katanya ketika sidang akhbar praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.
Mora turut menjelaskan bahawa JDT adalah pasukan yang kerdil berbanding pasukan lain yang bertanding dalam Kumpulan I, tetapi tidak salah bagi pasukan itu meletakkan impian untuk melepasi peringkat kumpulan.
"Untuk meletakkan impian adalah percuma, tetapi kami tahu impian sahaja tidak mencukupi, jadi kami perlu bertindak dan percaya kepada keupayaan pemain JDT.
"Pada masa ini, momentum kami agak bagus terutamanya dalam liga tempatan, jadi kami mahu kekalkan momentum itu dalam pertandingan Liga Juara-Juara,” katanya.
Mora berkata, bermain di Liga Juara-Juara di laman sendiri sebagai tuan rumah untuk kesemua perlawanan Kumpulan I adalah satu kelebihan kerana pemain sudah biasa dengan suasana, padang dan cuaca dan dalam masa sama bermain di hadapan keluarga dan peminat tempatan.
Sementara itu, Pengendali Guangzhou FC, Pan Yonghe berkata, South China Tigers tidak bimbang berhadapan Harimau Selatan walaupun menghantar skuad kedua akademi mereka di ACL kerana yakin akan keupayaan mereka selepas mengadakan beberapa aksi persahabatan yang menunjukkan keputusan positif.
"Kami tahu JDT satu pasukan yang kuat, mereka adalah nombor satu dalam liga tempatan tetapi kami tidak takut. Sebaliknya ini satu peluang baik untuk pemain muda kami bertanding dalam perlawanan berkualiti tinggi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!