Russell kagum Petronas AutoExpert
PEMANDU Mercedes-AMG Petronas, George Russell menyuarakan rasa kagum dengan apa yang dilihatnya dalam lawatan ke cawangan utama Petronas AutoExpert di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Menyifatkan pengalaman itu sebagai menarik, Russel berkata lawatan yang mempamerkan perkhidmatan disediakan di pusat penyelesaian sehenti itu menunjukkan kepadanya betapa pentingnya pelanggan Petronas kepada mereka.
"Daripada produk inovatifnya, hinggalah kepada profesionalisme pasukan - sungguh menarik untuk melihat teknologi bendalir sama yang digunakan untuk memastikan kereta F1 kami berada pada keadaan paling optimum di trek Formula Satu (F1) dipindahkan untuk manfaat setiap pengguna di jalan raya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Petronas.
Dalam lawatannya pemandu British itu diperkenalkan kepada beberapa fungsi dan kerja-kerja yang ditawarkan bagi semua perkhidmatan automotif di bengkel itu.
Sementara itu, pemilik cawangan berkenaan Zulkanin Jaharudin berkata, mereka cukup teruja dapat mempamerkan semua perkhidmatan yang disediakan di Petronas AutoExpert kepada Russel.
Petronas AutoExpert ketika ini memiliki 14 cawangan di Malaysia dengan cawangan pertama dibuka pada April 2019 di Shah Alam dan hujung tahun ini cawangan rangkaian perniagaan itu dijangka meningkat kepada 50 cawangan.
Di luar Malaysia terdapat lebih 3,000 cawangan dalam Petronas AutoExpert Network termasuk di China, Eropah dan Amerika Selatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!