800,000 Kad Harapan bantu mahasiswa elak 'ikat perut'
PASIR MAS - Sebanyak 800,000 Kad Harapan akan diagihkan kepada golongan mahasiswa bagi mengelakkan mereka ‘ikat perut’ akibat masalah kewangan ketika sedang menuntut, kata Yang Dipertua Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM) Datuk Seri Khuzaini Zamzani.
Katanya kad berkenaan disasar untuk diagihkan kepada mahasiswa yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Dengan Kad Harapan ini mereka boleh membeli barangan di Kedai Harapan dengan potongan harga antara tujuh hingga 10 peratus.
"Harapan kami adalah agar dapat membantu mahasiswa daripada golongan berpendapatan rendah," katanya kepada pemberita pada Program Ayam Hutan Berkokok di Dataran Komuniti di Kampung Padang Embon di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar apabila terdapat sebilangan mahasiswa terpaksa ‘mengikat perut’ dengan hanya makan sekali sehari, terpaksa berpuasa malah terpaksa bergantung pada roti kerana kekangan kewangan.
Khuzaini berkata Kedai Harapan berkenaan akan dilancarkan Sabtu depan di Shah Alam oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.
“Bagi fasa pertama, sebanyak 70 premis Kedai Harapan akan dilancarkan dan 220 Kedai Harapan disasar untuk dibuka sehingga hujung tahun ini.
“Kedai Harapan juga dijangka dapat membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila 20 peratus produk mereka akan dijual di kedai itu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!