Jangan abai SOP ketika fasa peralihan endemik
KLANG - Tidak memakai pelitup muka dan gagal mengimbas aplikasi MySejahtera antara kesalahan tertinggi dicatatkan sepanjang fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu di sekitar kawasan Klang Selatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Rahmat Ariffin berkata, kesalahan ini antara yang dikesan sepanjang pemantauan di sekitar kawasan tumpuan di sini.
"Sejak bermulanya fasa peralihan endemik sejak 1 April lalu, antara kesalahan tertinggi dikesan melibatkan pemakaian pelitup muka dan gagal mengimbas aplikasi MySejahtera.
"Ini satu perbuatan yang bukan sahaja menjadi kesalahan malahan ia merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika rondaan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan sekitar kawasan Bandar Parklands, Bukit Tinggi di sini pada Khamis.
Katanya, orang ramai diingatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang fasa peralihan endemik ini.
"Harus diingat bahawa wabak Covid-19 ini masih belum berakhir, orang ramai perlu mematuhi SOP ditetapkan agar dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.
"Tanggungjawab dalam memastikan wabak Covid-19 ini dapat dibendung memerlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya.
Menurutnya, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan.
"Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan, dan kita minta agar semua pihak patuh akan SOP yang ditetapkan ini.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana SOP yang ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, Rahmat turut mengingatkan individu atau mana-mana pihak agar tidak menjual bunga api dan mercun terlarang di sekitar daerah Klang Selatan sepanjang Ramadan ini.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan tersebut.
"Menjual bunga api serta mercun terlarang merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang, jadi saya memberi amaran jangan bertindak menjual barang terlarang tersebut.
"Pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan pada setiap masa dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati individu atau mana-mana pihak menjual bunga api dan mercun terlarang ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!