Artis terlibat politik bukan perkara baru
KEPUTUSAN tiga selebriti tanah air bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 menarik perhatian ramai.
Pelakon dan penerbit, Datuk Hans Issac serta penyanyi, Altimet dijangka bersaing degan enam yang lain bagi merebut jawatan Ketua Cabang Ampang. Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki pula akan berdepan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagi merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.
Penglibatan ketiga-tiga personaliti ini mendapat reaksi bercampur-campur daripada pelbagai pihak. Ada yang memberi sokongan, tidak kurang memperlekehkan tindakan mereka kononnya tidak lagi laku di persada hiburan.
Artis terlibat dengan politik bukanlah perkara asing di negara ini. Sebelum ini pun terdapat beberapa nama seperti Shahrol Shiro, Aishah, Herman Tino, Dayang Ku Intan dan Anne Ngasri yang terlibat serius dalam politik.
Begitu juga pelakon, Datuk Dira Abu Zahar yang mengikut jejak bapanya terlibat dalam politik apabila bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lepas dan kini menjadi Timbalan Speaker DUN Melaka.
Di negara jiran, Indonesia ramai selebriti yang menjadi ahli politik, antaranya Rhoma Irama, Krisdayanti, Anang Hermansyah, Rano Karno dan Desy Ratnasari.
Di Amerika Syarikat, antara selebriti yang terlibat ialah bintang filem Terminator, Arnold Schwarzenegger yang pernah menjadi Gabenor California. Dua bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan dan Donald Trump juga asalnya seorang selebriti.
Maka, tidak salahlah sekiranya Hans Issac, Afdlin Shauki dan Altimet memilih jalan untuk serius dalam politik.
Langkah artis menceburi bidang politik bukan sahaja menjadi daya penarik kepada parti, malah merupakan satu dimensi baharu. Semua pihak harus terbuka dan memberi peluang kepada artis berkenaan untuk bertanding.
Namun begitu, perlu diingatkan, walaupun selebriti tersebut berjaya dalam bidang hiburan dan mempunyai pengikut yang ramai, mereka masih memerlukan kemahiran lain sebagai pemimpin politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!