JPNS tak halang guru guna TikTok untuk pembelajaran
SEREMBAN - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) tidak menghalang guru-guru untuk menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran.
Pengarah JPNS, Datuk Md Fiah Md Jamin berkata, bagaimanapun guru-guru dilarang mengambil video pelajar.
"Kalau itu boleh dijadikan medium untuk pemahaman anak-anak dan menaikkan semangat mereka untuk belajar serta berada dalam keadaan terkawal dan beradab, saya rasa tiada masalah.
"JPNS tidak menghalang selagi ia tidak menjadi satu kesalahan undang-undang asalkan tidak mengambil video pelajar," katanya ketika ditemui pada majlis Berbuka Puasa Guru Pewaris Negara Bersama Pemimpin Pendidikan diadakan di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Menurutnya, setakat ini JPNS tidak menerima sebarang aduan daripada ibu bapa yang kurang senang dengan perkara itu.
Bagaimanapun katanya, semua guru-guru diingatkan supaya tidak keterlaluan dalam menggunakan aplikasi tersebut.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menasihati golongan pendidik agar menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran dan bukan untuk mempopularkan diri.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya menyokong penuh penggunaan media sosial khususnya TikTok jika ia digunakan bagi tujuan pembelajaran namun bukan secara langsung di dalam kelas secara bersemuka.
Sementara itu ditanya berkenaan tiada lagi sesi penggiliran di sekolah bermula 17 April ini, Md Fiah berkata, pihak sekolah dan guru-guru diingatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan penularan kes Covid-19.
Jelas beliau, jangan kerana negara yang kini memasuki Fasa Peralihan Endemik menyebabkan ada yang leka untuk terus berhati-hati terutama bagi pelajar yang tinggal di asrama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!