Maddison puji semangat juang pemain Leicester
PEMAIN tengah Leicester City, James Maddison memuji semangat juang yang dipamerkan pasukannya ketika bangkit pada separuh masa kedua untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas PSV Eindhoven di Philips Stadium awal pagi tadi.
Menurut Maddison dia berbangga dengan rakan sepasukannya yang berjaya membantu Leicester untuk mara ke separuh akhir sekaligus merakam sejarah baharu buat The Foxes yang pertama kali berada di peringkat tersebut sepanjang penglibatan mereka dalam saingan Eropah.
"Saya sangat bangga dengan rakan sepasukan, sangat gembira dengan semua orang di sini. Terdapat peningkatan prestasi yang begitu besar ditunjukkan pemain.
"Walaupun kami bermula agak perlahan, kami sebenarnya bermain lebih baik sebaik sahaja mereka menjaringkan gol. Kami berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan.
“Saya fikir kami cemerlang pada separuh masa kedua apabila menjaringkan dua gol berkualiti untuk memenangi perlawanan. Saya fikir kami layak menjadi pemenang,”katanya.
Pada perlawanan tersebut, PSV terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Eran Zahavi pada minit ke-27.
Bagaimanapun gol lewat James Maddison dan Ricardo Pereira berjaya membantu kemenangan skuad bimbingan Brendan Rodgers untuk mara ke peringkat separuh akhir buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Leicester akan menentang Roma bagi mencari tempat ke final di Tirana 25 Mei depan selepas pasukan Serie A itu mengatasi defisit 2-1 pada suku akhir pertama menentang kelab Norway, Bodo/Glimt menerusi kemenangan 4-0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!