Sokong keputusan Ismail Sabri sebagai calon PM PRU15

Ismail Sabri. - Foto Bernama
Ismail Sabri. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan UMNO menyambut baik serta menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keputusan sedemikian penting demi kestabilan politik negara dalam menghadapi PRU15 akan datang.

"Pelantikan semula Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 adalah bagi membolehkan beliau meneruskan usaha-usaha memulihkan ekonomi dan kebangkitan semula negara dari kesan Covid-1 9 lebih dua tahun yang telah dijalankan sekarang sebagai Ketua Kerajaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, keputusan itu jelas membuktikan suara akar umbi didengari pucuk pimpinan parti.

Malah, katanya, ketetapan diputuskan MKT itu menunjukkan kepada masyarakat bahawa UMNO fokus untuk memenangi PRU15.

"Kami di peringkat akar umbi berasa lega dengan keputusan ini dan kami menyokong penuh MKT menamakan Ismail Sabri untuk meneruskan kepimpinannya sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 akan datang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, ketetapan itu mengikut apa yang telah diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Mac lalu.

"Kita melihat betapa besarnya jiwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan MKT untuk mengikut apa yang diperkatakan semasa PAU tempoh hari.

Artikel Berkaitan:

"Kami berterima kasih kepada Presiden dan MKT yang sentiasa mementingkan kestabilan politik dan keutuhan parti," ujarnya.

Abd Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam berkata, keputusan itu juga membuktikan UMNO bersedia menghadapi PRU-15 dan memilih pemimpin terbaik untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!