Duda ditahan bersama 360kg daun ketum

Osman (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas di Taiping pada Khamis.
Osman (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas di Taiping pada Khamis.
A
A
A

TAIPING - Polis menahan seorang lelaki dan merampas daun ketum seberat 360 kilogram di Kilometer 212.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran Plaza Tol Taiping (U) di sini pada Khamis.

Lelaki berstatus duda berusia 40 tahun itu ditahan sekitar jam 8.15 pagi oleh Pasukan Peronda Lebuh Raya Bandar Baharu-Changkat Jering.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika pemeriksaan, anggota menemui masing-masing 18 beg plastik hitam di bahagian tempat duduk belakang dan but kenderaan terbabit.

"Kesemua daun ketum bernilai RM7,200 itu dirampas dan siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dalam kes jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengambil upah sebanyak RM2,000 untuk membawa daun ketum itu dari Kedah menuju ke Seremban, Negeri Sembilan dengan memandu kenderaan milik rakannya itu.

"Bapa kepada seorang anak itu dipercayai telah sebulan terlibat dengan kegiatan penjualan daun ketum di sekitar negeri Kedah.

"Suspek direman selama empat hari sehingga Isnin ini untuk disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!