OKT mati dalam lokap, tiada kecederaan dikesan
KUALA LUMPUR - Tiada sebarang kecederaan yang dikesan terhadap tahanan yang meninggal dunia di lokap Balai Polis Kajang pada Rabu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, bagaimanapun siasatan terperinci masih lagi dijalankan untuk mengetahui punca kematian lelaki berusia 45 tahun itu yang meninggal pada jam 10.32 pagi.
"Punca kematian masih belum dapat dikenal pasti, namun sampel telah diambil bagi tujuan ujian makmal dan analisa untuk siasatan lanjut punca kematian.
"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Azri berkata, ujian pengesanan Covid-19 juga telah dibuat terhadap lelaki itu dan keputusannya negatif.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," ujarnya.
Pada Khamis, media melaporkan Polis Diraja Malaysia mengesahkan seorang lelaki warga tempatan meninggal dunia dalam tahanan di lokap Balai Polis kajang.
Lelaki itu telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Orang kena tahan (OKT) itu tiada penjamin dan ditumpangkan di lokap Balai Polis Kajang sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang bagi tahanan reman.
Pada Rabu, anggota bertugas lokap dimaklumkan OKT disyaki sawan dan telah menghubungi pihak hospital.
Pihak hospital telah hadir jam 10.45 pagi bagi membuat pemeriksaan dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Semasa dalam perjalanan ke hospital, penolong pegawai perubatan mengesahkan OKT telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!