Fasa peralihan ke endemik: Pendaftaran perniagaan dijangka meningkat
KUALA LUMPUR - Lebih ramai masyarakat dijangka terlibat dalam sektor perniagaan di negara ini selepas negara beralih ke fasa peralihan ke endemik sekali gus meningkatkan jumlah pendaftaran syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berikutan sektor ekonomi negara kini sudah semakin rancak.
Menurutnya, perkembangan itu juga akan disokong oleh program-program sedia ada dan yang dirancang oleh kerajaan melalui SSM.
"Kita dalam fasa peralihan endemik, ekonomi lebih pulih dan banyak urusan perniagaan lebih lancar.
"Diharapkan dan dijangka lebih ramai lagi akan menceburi sektor perniagaan seterusnya memberi pontensi SSM untuk meningkat jumlah pendaftaran syarikat.
"SSM memang ada program-program tersendiri untuk merancakkan aktiviti ekonomi termasuk di kementerian-kementerian lain. Jadi dengan usaha sebegitu sudah tentu pendaftaran ini akan meningkat," katanya ketika sidang media selepas Majlis Majlis Sambutan Ulang Tahun SSM Ke-20 di sini pada Jumaat.
Beliau pada masa sama menyarankan setiap peniaga tidak kira sektor dan saiz perniagaan untuk mendaftar dengan SSM demi manfaat jangka panjang.
"Banyak kebaikan jika daftar perniagaan. Kerajaan juga mempunyai data untuk salurkan bantuan
"Jika tidak berdaftar, sukar untuk golongan ini tersenarai dalam bantuan sama ada dari kerajaan atau SSM sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!