Yadim perluas gerakan dakwah dalam kalangan remaja

Misi menyebar luas kegiatan dakwah menerusi kebajikan, pendidikan dan sosial

Ahmad Fathan (dua dari kiri) dan Tuan Kamarul Arief (tiga dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan makanan dan kelengkapan sekolah kepada keluarga Zamiah Mustafa pada Jumaat.
Ahmad Fathan (dua dari kiri) dan Tuan Kamarul Arief (tiga dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan makanan dan kelengkapan sekolah kepada keluarga Zamiah Mustafa pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan memperluaskan gerakan dakwah kepada golongan remaja di peringkat sekolah menengah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, usaha tersebut sejajar dengan misi untuk menyebar luas kegiatan dakwah menerusi kebajikan, pendidikan dan sosial dalam meninggikan martabat Islam serta kesejahteraan ummah.

“Mereka adalah kumpulan sasar yang kami mahu dekati secara terus dan bukan sahaja melibatkan mereka yang berada di universiti malah di peringkat sekolah dan di institusi-institusi berkaitan.

“Mereka akan dilatih untuk memiliki kesedaran Islam dan mengambil tanggungjawab untuk menyebarkan kecantikan Islam,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf di Masjid Al-Husna di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim, Ahmad Fathan Mahmood.

Pada majlis tersebut, sejumlah 60 keluarga terdiri daripada kalangan B40, yatim dan asnaf menerima sumbangan beras, minyak masak dan kelengkapan persekolahan.

Mengulas lanjut, Tuan Kamarul Arief berkata, sehingga kini, kira-kira 10,000 belia di seluruh negara yang berdaftar dan aktif bersama Yadim menerusi penubuhan Rakan Siswa Yadim, Rakan Belia Yadim dan Rakan Remaja Yadim.

“Mereka berusia antara 15 tahun sehingga 21 tahun menjalankan pelbagai program dan menjadi sukarelawan dalam berdakwah bersama Yadim.

Artikel Berkaitan:

“Peruntukan disediakan kepada mereka dalam mengatur program dakwah dengan dana sehingga RM50,000 bagi setiap negeri pada setiap tahun,” jelasnya.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 program dirangka dan dilaksanakan Yadim di seluruh negara pada tahun ini termasuk di Sabah dan Sarawak yang mempunyai medan dakwah sangat luas.

Katanya, program-program itu digerakkan secara kolaborasi dengan pelbagai pihak melalui sumbangan orang ramai dan kerajaan itu telah memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim, Ahmad Fathan Mahmood menyampaikan sunbanhan makanan dan kelengkapan sekolah kepada keluarga Zamiah Mustafa, 47, pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!