Calon PM PRU15: Ismail Sabri diyakini untuk bina semula negara

Dari kiri: Mohd Yusof, Suraya dan Mohd Tajudin.
Dari kiri: Mohd Yusof, Suraya dan Mohd Tajudin.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemilihan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat bertepatan bagi mencapai misi kestabilan untuk pemulihan dan pembinaan semula negara.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, ia penting sebagai persediaan parti untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Menurutnya, sehubungan itu, Barisan Nasional (BN) perlu mengetengahkan calon Perdana Menteri yang diyakini rakyat untuk menerajui negara ketika dalam proses pemulihan daripada konflik politik dan ekonomi yang merudum akibat pandemik Covid-19.

“Pencalonan Ismail Sabri juga memperlihatkan solidariti kepimpinan tertinggi UMNO untuk membentuk satu pasukan yang kuat bagi menghadapi PRU15 selain membawa misi kestabilan politik untuk kemakmuran negara dan rakyat.

“UMNO Alor Setar yakin akan kemampuan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri berdasarkan prestasi beliau dalam tempoh lapan bulan menerajui negara,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Mohd Yusof berkata, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos lalu, rakyat dapat melihat usaha yang dilakukan beliau dalam menstabilkan semula politik negara dengan mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ahli Parlimen pembangkang.

“Idea Keluarga Malaysia yang diketengahkan beliau meredakan konflik antara kaum untuk mencapai kestabilan dan perpaduan sosial rakyat berbilang bangsa.

“Dari aspek ekonomi, Bank Negara Malaysia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyasarkan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara antara lima hingga enam peratus berbanding tahun 2021 sekitar 3.6 peratus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, imej pemimpin bersih yang dibawa Ismail Sabri juga dapat mewujudkan persepsi baik kalangan rakyat terhadap UMNO dan BN.

“Ia membawa suara sebenar akar umbi. UMNO Alor Setar menyokong penuh cadangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mencalonkan Ismail Sabri sebgai calon Perdana Menteri untuk PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob menyifatkan keputusan MKT UMNO itu membuktikan muafakat kalangan pucuk pimpinan tertinggi yang diketuai Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ia menggambarkan jiwa besar dalam mengenepikan kepentingan peribadi kalangan pemimpin UMNO.

“Solidariti MKT sebagai pucuk pimpinan tertinggi UMNO terhadap Ismail Sabri adalah satu manifestasi kematangan politik UMNO yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan masa depan negara yang lebih terjamin,” katanya.

Menurutnya, UMNO bukan seperti parti tertentu yang terpaksa ‘melutut’ kepada musuh dengan menikam belakang, hanya semata-mata untuk mengejar jawatan Perdana Menteri.

“Sokongan penuh MKT itu harus diterjemahkan oleh akar umbi dengan mengenepikan perbezaan, mencari titik persamaan bagi mendapatkan keyakinan rakyat untuk terus membina negara bersama UMNO dan BN,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah menyokong keputusan MKT UMNO yang disifatkan terbaik untuk parti berdepan PRU15.

“Semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan lepas, perwakilan sudah memberi mandat kepada lima pemimpin tertinggi parti dan MKT untuk buat sebarang keputusan termasuk ‘poster boy’ dan pembubaran Parlimen.

“Kami yakin apa yang diputuskan adalah pilihan tepat agar UMNO terus relevan dan mendapat tempat di hati rakyat khususnya untuk bersaing dengan parti Melayu lain pada PRU15,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!