11 lokasi salah guna media sosial diserbu
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada mingu ini, bertindak menyerbu 11 lokasi dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan media sosial.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, antara lokasi terlibat ialah Putrajaya, Petaling Jaya, Selangor; Perai dan Simpang Ampat di Pulau Pinang; Kuala Dungun, Terengganu dan Masjid Tanah di Melaka.
"Kebanyakan kesalahan dilakukan suspek adalah menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan bersifat lucah seperti video seks dan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang jelik dan menghina serta kandungan mengancam dengan niat mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.
"Dalam operasi tersebut, rakaman percakapan turut diambil daripada suspek-suspek manakala beberapa peranti komunikasi, kad sim, kad memori, komputer riba dan 'hard-drive' turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, tindakan berkenaan susulan aduan yang diterima daripada mangsa mengenai kandungan yang dilarang.
"Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi seseorang untuk membuat dan memulakan penghantaran pelbagai komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang serta mengancam.
"Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie turut menggesa pengguna media sosial di negara ini mempertingkatkan kawalan ketika mengakses Internet.
Pada masa sama, tidak menggunakannya sebagai platform menyebarkan perkara sensitif yang mengundang kemarahan orang awam, katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!