Fahmi Reza direman sehari

Fahmi Reza. Gambar kecil: Abd Jalil
Fahmi Reza. Gambar kecil: Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza direman sehari bagi membantu siasatan berhubung hantaran karikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, perintah reman tersebut yang dikeluarkan pihak mahkamah hanya membenarkan tempoh reman selama sehari dikenakan terhadap Fahmi Reza.

"Mahkamah hanya membenarkan reman sehari ke atas Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah menahan pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza untuk membantu siasatan berhubung satira monyet berpakaian ala pakaian seragam diraja yang dimuat naik menerusi beberapa platform media sosial miliknya.

Abd Jalil ketika itu berkata, pihaknya mengesan satira tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Fahmi Reza pada Rabu.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!