Lima ahli sindiket tipu urus e-wallet kripto dalam talian diberkas

Anggota polis sedang memeriksa barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Bukit Jalil pada Khamis.
Anggota polis sedang memeriksa barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Bukit Jalil pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lima individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan mengurus e-wallet mata wang kripto milik mangsa secara dalam talian di sebuah kediaman di Bukit Jalil pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menahan empat individu warga tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 29 hingga 41 tahun pada jam 12.10 tengah hari.

"Kita turut merampas dua unit komputer riba, 65 telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit pemprosesan komputer dan dua modem yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Muhammad Idzam berkata, sindiket itu dipercayai terlibat dengan kegiatan menguruskan e-wallet, mengajar dan memanipulasi pelanggan dalam transaksi jual beli saham mata wang kripto sejak November 2020.

"Kesemua suspek ditahan reman selama dua hari bermula hari ini hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan sebarang bentuk skim pelaburan mata wang kripto.

"Orang ramai perlu mendapatkan maklumat yang secukupnya dari agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!