Jangan lafaz cerai melalui laman sosial: Mufti Kedah
ALOR SETAR - Umat Islam dinasihatkan agar tidak melafazkan cerai kepada pasangan mereka menerusi laman sosial bagi mengelakkan keraguan dari segi hukum.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, pasangan terlibat yang ingin bercerai seelok-eloknya melakukanya secara bersemuka di mahkamah syariah.
"Mereka perlu hadir bersama di sana (mahkamah syariah), sebab apa dilakukan suami berhubung masalah rumah tangga dan melafazkan cerai akan direkodkan.
"Apabila kedua-duanya ini hadir (ke mahkamah syariah), maka tidak ada sebarang keraguan dari segi hukum," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Zahir di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai soal jatuh talak ataupun tidak apabila lafaz talak dilakukan melalui laman sosial, Fadzil berkata, ia perlu dilihat daripada beberapa sudut terlebih dahulu.
Katanya, isteri perlu memastikan bahawa individu yang melafazkan cerai melalui platform berkenaan adalah suaminya bukan individu lain.
"Sekiranya ia dilafazkan oleh suami dan isteri benar-benar mengenali itu adalah suaminya daripada wajah, suara, bukti-bukti lain serta tidak ada sebarang keraguan, maka lafaz itu adalah berlaku dan terjatuhlah (talak) mengikut apa yang dilafazkan.
"Jikalau didapati suara sahaja ataupun unsur menimbulkan keraguan di mana yang melafazkan itu walaupun nampak dari segi rupa paras dan suara suami dikenali isteri, namun ada unsur-unsur mungkin berlaku suntingan, maka lafaz itu tidak berlaku atau berjalan (sah).
"Sekiranya, suara saja kita kena putuskan, maka ia merupakan perkara yang masih perlu diteliti sebab soal berkaitan dengan nikah cerai ini dipandang serius agama Islam," katanya.
Beliau menegaskan, Islam sangat menitikberatkan dalam isu ini, yang mana tidak mudah untuk mengatakan atau menghukumkan bahawa sesuatu lafaz ini akan berlaku perceraian atau terjatuh talak tanpa melihat dari semua sudut.
"Ia bagi tujuan meyakinkan bahawa yang melafazkan itu benar-benar suami, dikenali oleh isteri dan lebih-lebih lagi kalau disokong oleh penyaksian oleh keluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!