Kelantan optimis bawa tiga mata pulang dari Ipoh
PENGENDALI Kelantan FC, Reezal Zambery Yahya optimis The Red Warriors (TRW) mampu mengutip tiga mata penuh apabila berdepan Perak FC pada saingan Liga Premier di Stadium Perak pada Sabtu.
Malah menurut Reezal, tiga mata ke atas pasukan tuan rumah itu penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan FC sebagai pendahulu liga musim ini.
"Kami sedang fokus dengan corak taktikal yang akan diterapkan bagi menentang Perak FC untuk membawa pulang tiga mata penuh ke Kota Bharu.
"Masa singkat ini saya perlu mengenal pasti segala kekurangan yang kita hadapi ketika ini,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Kelantan FC kini menghuni kedudukan teratas liga selepas empat perlawanan dengan mengutip sembilan mata hasil tiga kemenangan dan satu kekalahan.
Mengulas lanjut, Reezal berkata, beliau masih optimis dengan misi dan sasaran TRW musim ini iaitu layak beraksi dalam Liga Super musim depan walaupun tewas tipis 1-2 kepada Kuching City FC pada Isnin lalu.
"Saya perlu mengambil sudut positif bagi perkara ini supaya tidak mengganggu perjalanan skuad dengan segera memperbaiki kelemahan.
"Kita tidak boleh turun dengan memandang mudah kemampuan pasukan Perak FC yang ketika ini berdepan isu kewangan dan pengurusan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!