Pemandu maut, jengkaut terbalik dalam longkang

Anggota bomba dari BBP Jerantut membantu menaikkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Foto JBPM Pahang
Anggota bomba dari BBP Jerantut membantu menaikkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Foto JBPM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu jengkaut maut selepas jentera dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik ke dalam longkang di Kilometer 4, Jalan Lama Jerantut -Benta dekat Jerantut pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Ikhsan Zahari, 37, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, warga Bangladesh, Ibrahim Hossen, 25, yang menumpang jengkaut tersebut parah.

Menurutnya, seorang lagi warga Bangladesh yang berada di atas jentera itu, Hossain Shahin, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa bersama dua warga Bangladesh dalam perjalanan pulang dari kawasan sebuah tapak pembinaan ke rumah kongsi di Sungai Par, Jerantut.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal jentera dipandunya lalu terbabas ke kiri jalan dan terbalik ke dalam longkang," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Kamarulzaman berkata, akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala salah seorang penumpangnya parah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Menurutnya, pihaknya membantu membawa naik mayat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!