MoU diteruskan atau tidak tertakluk kepada PM, bukan MKT UMNO

Khalid Abd Samad
Khalid Abd Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan sama ada meneruskan ataupun tidak Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, bukannya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Khamis yang mana pihaknya sebulat suara memutuskan bahawa MoU berkenaan tidak akan diteruskan lagi.

Beliau juga menjelaskan, MoU tersebut adalah persetujuan dan ikatan yang dibuat di antara PH dengan kerajaan Persekutuan bukannya dengan UMNO.

“Justeru, sebarang keputusan untuk meneruskan atau tidak MoU tersebut adalah tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri bukannya keputusan mesyuarat MKT UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha PH untuk mengikat dan meneruskan MoU tersebut adalah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang telah menitahkan supaya semua parti politik dapat mewujudkan kestabilan politik dan pentadbiran negara.

Katanya, ia bertujuan membolehkan kerajaan sedia ada menumpukan usaha membendung penularan wabak Covid-19, memulihkan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

“Atas semangat itu juga, PH telah menuntut inisiatif-inisiatif tertentu di dalam MoU untuk memastikan matlamat kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik dapat dicapai,” katanya.

Bagaimanapun, Khalid turut mendakwa UMNO yang kononnya menggambarkan parti itu mampu membawa kestabilan lebih berminat bermain politik untuk merebut kuasa, bahkan menjadi dalang sebenar punca ketidakstabilan politik sepanjang dua tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami yakin Perdana Menteri sanggup dan mampu melihat persoalan MoU ini dari sudut kepentingan rakyat dan negara dan bukan dari sudut politik sempit seperti UMNO,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mempersoalkan keputusan UMNO yang mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Adakah langkah UMNO mengumumkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri itu satu helah untuk menggesa beliau menyegerakan pembubaran Parlimen bagi pilihan raya umum diadakan?

“Seterusnya membuka jalan untuk UMNO melantik Perdana Menteri baharu yang lebih bersedia menyelamatkan kedudukan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak?” soal beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!