Yeop takkan beri TRW laluan mudah di Ipoh

FOTO: Perak Football Club
FOTO: Perak Football Club
A
A
A

PEMAIN Perak FC tidak akan memberikan laluan mudah kepada pendahulu Kelantan FC apabila kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Liga Premier di Stadium Perak, Sabtu ini biarpun berdepan pelbagai masalah melibatkan isu tunggakan gaji, kekurangan pemain dan terkini pemotongan enam mata.

Sebaliknya menurut pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, para pemain The Bos Gaurus akan memberikan aksi terbaik dalam menyaingi The Red Warriors (TRW) kendalian Rezal Zambery Yahya.

Malah kata Yusri, anak buahnya yang kebanyakan dibarisi para pemain muda di sebalik keadaan yang serba kekurangan itu begitu bermotivasi untuk berdepan kelab pantai timur yang serba lengkap berkenaan.

“Secara keseluruhannya, saya melihat semua yang terjadi ini sebagai ujian buat saya dan juga para pemain Perak FC.

“Dengan keadaan tunggakan gaji, tidak mempunyai pemain yang mencukupi tambahan pula perkara ini berlaku di bulan Ramadan.

“Apa pun, saya berdoa kepada ALLAH SWT supaya semua masalah ini dapat diselesaikan dengan baik tidak lama lagi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Perak FC berdepan pemotongan enam mata susulan kegagalan pengurusan melunaskan tunggakan gaji para pemain seperti ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

Badan bebas First Instance Body (FIB) sebelum ini mengenakan hukuman pemotongan tiga mata ke atas Perak FC dalam saingan Liga Premier musim ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Yusri juga berharap para pemainnya akan dapat memberikan aksi terbaik apabila berdepan pelawat yang turut dibarisi pemain import juga pasti akan mempamerkan aksi terbaik dalam usaha membawa keputusan positif dari Ipoh.

“Kita akan berdepan Kelantan FC, pasukan yang kini menerajui kedudukan Liga Premier dan juga pasukan pilihan ke saingan Liga Super musim depan.

“Sudah pasti kehadiran Kelantan FC kali ini adalah untuk mencatatkan kemenangan bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka di puncak Liga Premier.

“Apapun, para pemain juga diharap dapat beraksi seperti biasa dan tidak memberikan laluan mudah kepada Kelantan FC,” katanya.

Sementara itu, Kapten Perak FC, Muhammad Firdaus Saiyyadi menegaskan biarpun berada dalam keadaan yang serba kekurangan, namun para pemain akan tetap akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan tersebut

"Sejujurnya biarpun kami semua dalam keadaan keletihan, namun semangat untuk berbakti kepada pasukan negeri tercinta begitu menebal untuk memberikan segala yang termampu.

“Kalau tanya saya, memang semua para pemain dalam kepenatan ketika ini kerana kita sememangnya tidak mempunyai cukup pemain-pemain ketika ini.

“Bagaimanapun, apabila tiba hari perlawanan, semua pemain akan cuba memberikan sepenuh jiwa apa yang ada dalam diri di padang sepanjang perlawanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!