Putera Alwaleed tolak tawaran Musk untuk beli Twitter
SAN FRANCISCO - Beberapa pelabur aplikasi Twitter termasuk seorang bilionair yang juga kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal baru-baru ini menolak tawaran daripada individu paling kaya di dunia, Elon Musk untuk membeli perkhidmatan rangkaian sosial itu.
"Saya tidak percaya bahawa tawaran yang dicadangkan oleh @elonmusk hampir dengan nilai intrinsik @Twitter memandangkan prospek pertumbuhannya," ciapnya di Twitter.
Putera itu merujuk kepada cadangan Musk untuk membeli Twitter pada harga AS$54.20 (RM229.46) untuk nilai satu saham.
Pada tahun 2015 Putera Alwalee bersama-sama dengan syarikat The Kingdom Holding Company memiliki sebanyak 5.2 peratus kepentingan dalam platform media sosial itu.
Musk menilai firma media sosial itu pada harga kira-kira AS$43 bilion (RM182.13 bilion) yang didedahkan dalam dokumen Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa yang kemudian diumumkan pada Khamis.
Beliau yang merupakan pengasas bersama syarikat kenderaan elektrik, Tesla melancarkan usaha pengambilalihan Twitter tetapi mengakui bidaannya itu kemungkinan akan menemui kegagalan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!