ACL 2022: Harimau Selatan baham Guangzhou
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengutip tiga mata pertama dengan bergaya apabila membelasah juara lapan kali Liga Super China, Guangzhou FC 5-0 pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.
Kemenangan anak buah Benjamin Mora itu dijana persembahan bertenaga sepanjang 90 minit yang menyaksikan Bergson da Silva mencipta hatrik selain jaringan sendiri penjaga gol, Chen Zhengfeng dan gol Muhammad Ramadhan Saifullah Usman memberikan JDT permulaan sempurna.
Skuad Harimau Selatan bermula dengan garang apabila memperolehi gol pembukaan pada minit ke-10 menerusi tandukan Bergson yang memanfaatkan hantaran lintang Shane Lowry.
Tiga minit kemudian, kesilapan Chen menangkap bola di atas garisan selepas menepis rembatan Fernando Forestieri mengundang padah apabila bola terlepas dari genggamannya lalu masuk ke gawang untuk memberikan kedudukan selesa kepada JDT dan menambah tekanan pasukan pelawat.
Bergson memastikan JDT menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan selesa selepas merembat bola menewaskan penjaga gol lawan untuk menambah gol ketiga pasukan dan kedua peribadinya pada minit ke-27.
Bersambung babak kedua, Bergson tidak menunggu lama untuk melengkapkan jaringan hatriknya selepas menyudahkan hantaran lintang Corbin-Ong menerusi tandukan pada minit ke-52 sekali gus melebarkan kedudukan buat JDT.
Keadaan Guangzhou FC terus parah selepas pemain pertahanannya Guan Haojin dilayangkan kad merah setelah mengasari Bergson pada minit ke-69 dan JDT mengambil kesempatan untuk meledak gol kelima menerusi sepakan lambung Muhammad Ramadhan pada minit ke-81.
JDT kini mendahului carta Kumpulan I dengan mengumpul tiga mata sementara juara Liga Jepun Kawasaki Frontale dan kelab Korea Selatan Ulsan Hyundai berkongsi satu mata di kedudukan kedua dan ketiga selepas terikat 1-1 pada satu lagi aksi, manakala Guangzhou FC tercorot tanpa sebarang mata.
Pada aksi kedua Isnin depan, JDT akan membuat perhitungan menentang Ulsan Hyundai di venue sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!