BPGK teguh lindungi pengguna
PUTRAJAYA - Menginjak usia 50 tahun pada 17 April ini, Bahagian Penguatkuasa (BPGK) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tekad menjadi tulang belakang kementerian dalam menjaga kepentingan pengguna dan memastikan peniaga mematuhi undang-undang.
BPGK yang ditubuhkan secara rasmi pada 17 April 1972 hasil usaha Menteri Perdagangan dan Perindustrian ketika itu, Mohamed Khir Johari, beroperasi dengan hanya 12 pegawai sebelum bertambah menjadi 311 pegawai pada 1981 iaitu ketika negara berdepan isu kenaikan harga barangan dengan kadar inflasi lebih enam peratus.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam dalam satu temu bual bersama media sempena sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 Hari Penguat Kuasa KPDNHEP baru-baru ini berkata, dengan kekuatan 2,234 pegawai dan anggota penguat kuasa kini, BPGK menjalankan tugas penguatkuasaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara.
"Kita berhasrat untuk memiliki sehingga 5,000 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi menyeimbangkan antara bilangan premis, aduan dan cabaran yang kita hadapi.
"Biarpun berdepan kekangan kekurangan pegawai, kita tidak boleh menggunakan alasan itu sebagai halangan untuk menjalankan tugas. Jika ada pertambahan anggota, mungkin keberadaan kita (di lapangan) dapat dipertingkatkan,” katanya.
Dengan tema ‘Komited Mendepani Cabaran’ bagi sambutan kali ini, BPGK yang juga barisan hadapan KPDNHEP tekad mendepani cabaran mendatang khususnya mengenai isu bekalan dan harga barang selain melindungi hak pengguna.
"Antara fokus BPGK ini adalah mengawal selia bekalan dan harga barang berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi memastikan pengguna dapat menikmati harga barang keperluan pada harga munasabah dan mudah diperoleh,” katanya.
Azman berkata, berdasarkan statistik bermula 2018 hingga Februari 2022, sebanyak 2,283 kes telah dihasilkan oleh BPGK melibatkan tindakan penguatkuasaan di bawah AKB 1961 dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM69.43 juta.
Di bawah AKHAP 2011 pula, sebanyak 1,540 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.69 juta membabitkan barang kawalan seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan kit ujian Covid-19 bagi tempoh sama.
Dari segi perlindungan pengguna pula, Azman berkata, BPGK secara berterusan memantau perniagaan dan transaksi secara dalam talian serta kes melibatkan isu halal.
Menurut Azman, terdapat peningkatan dalam pembelian secara dalam talian ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020, dan melalui Akta Perlindungan Pengguna 1999, KPDNHEP melalui BPGK komited dalam memastikan pembeli tidak tertipu atau dimanipulasi oleh peniaga tidak bertanggungjawab.
Dari segi pengurusan aduan pula, Azman berkata, setiap aduan diterima akan disiasat oleh pegawai penyiasat yang dilantik dalam tempoh 21 hari dan hasil tindakan siasatan akan dilaporkan terus kepada pengadu melalui portal e-aduan KPDNHEP.
Azman berkata, BPGK turut berdepan dengan cabaran kenaikan harga input barang terutama yang diimport daripada luar negara, sekali gus memberikan kesan langsung terhadap perubahan harga barangan dalam negara.
"Contohnya, isu kenaikan harga ayam dan telur ayam berlaku sekitar Ogos 2021. Harga kos input meningkat terutamanya yang diimport seperti soya dan jagung telah menyebabkan kenaikan harga ketara ke atas ayam,” katanya.
Antara langkah diambil KPDNHEP untuk menstabilkan harga ayam ketika itu adalah melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) selain memastikan keberadaan bekalan.
Beliau berkata, BPGK juga mengubah pendekatan kerja daripada penguatkuasaan secara fizikal kepada penggunaan teknologi contohnya menerusi Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu (IEMS).
"Dengan adanya sistem ini, data diperoleh juga lebih tepat dan dapat dikemaskini dengan pantas, sesuai dengan tugasan penguatkuasaan yang semakin mencabar,” katanya.
Sebagai harapan dan nasihat kepada pengguna dan peniaga sempena sambutan Jubli Emas, Azman berkata BPGK tidak bertujuan untuk menyekat tindak-tanduk peniaga, sebaliknya memikul tanggungjawab besar dalam memastikan suasana perniagaan adil dan kondusif.
"Kepada pengguna, dinasihatkan untuk lebih bijak dalam menguruskan perbelanjaan harian termasuk merancang dan menggunakan hak pengguna sebaik mungkin agar tidak dimanipulasi oleh peniaga tidak beretika,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!