Guna pengalaman terus berbakti: Hasni

Hasni ( tengah) bertemu kepimpinan UMNO Cawangan Pontian pada Majlis Iftar di Dewan UMNO Pontian pada petang Jumaat.
Hasni ( tengah) bertemu kepimpinan UMNO Cawangan Pontian pada Majlis Iftar di Dewan UMNO Pontian pada petang Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad bersedia menggunakan pengalamannya bagi membantu kerajaan negeri di bawah pimpinan Onn Hafiz Ghazi dalam soal pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini.

Hasni berkata, tumpuan akan diberikan kepada beberapa perkara penting sebagaimana yang terkandung dalam Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

"Saya masih seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, yang dipilih oleh rakyat (pengundi) dan akan terus menabur bakti kepada negeri Johor dan Malaysia walaupun dalam keadaan yang berbeza.

"Pengalaman yang saya miliki akan digunakan sepenuhnya bagi memastikan Bangsa Johor terus menikmati kehidupan lebih baik, peluang pekerjaan, pemilikan rumah dan sebagainya.

"Sebagaimana yang saya kata sebelum ini, Johor adalah Rumah Kita dan saya akan memastikan rakyat di negeri ini terus bergerak dengan inspirasi kerajaan pada hari ini," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis iftar bersama ketua-ketua UMNO Cawangan Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian, pada petang Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Datuk Mohd. Fauzi Sunawan.

Ditanya mengenai insentif Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) yang diumumkan pada Khamis lalu, beliau menyifatkannya sebagai langkah tepat kerajaan negeri membantu meringankan beban rakyat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, insentif tersebut merupakan kesinambungan Belanjawan 2022 yang menunjukkan kerajaan negeri prihatin dengan masalah rakyat yang masih terkesan dengan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Jelas beliau, keadaan ekonomi sebenarnya masih belum pulih sepenuh walaupun negara kini dalam fasa peralihan endemik kerana masih banyak pihak yang memerlukan sokongan untuk pulih semula.

“Dengan sumber-sumber yang ada, kerajaan negeri Johor mampu untuk membantu golongan sasar yang memerlukan supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Pada Khamis, kerajaan negeri mengumumkan insentif khas BKBJ membabitkan peruntukan RM144.36 juta, yang bakal disalurkan menjelang Aidilfitri ini.

Onn Hafiz berkata, insentif BKBJ itu bakal memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!