Empangan mengering, 15 operasi pembenihan awan
GEORGETOWN - Sebanyak 15 operasi pembenihan awan akan dijalankan untuk mencetuskan hujan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, operasi itu mendapat pengesahan kerajaan negeri dan akan dilaksanakan oleh Badan Kawal Selia Air Negeri (BKSA) serta dibantu PBAPP.
Menurutnya, rancangan melaksanakan pembenihan awan dalam tempoh dari April hingga Ogos 2022 bagi mencetus hujan secara khusus di KTA Empangan Air Itam.
"KTA merangkumi 5.75 kilometer (km) persegi kawasan hutan dilindungi di sekeliling empangan,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Jaseni berkata, baru-baru ini, terdapat sedikit hujan di Air Itam namun Empangan Air Itam masih berada di bawah status amaran kerana kapasiti efektif yang rendah iaitu 39 peratus.
Jelasnya punca utama ialah taburan hujan yang rendah di KTA sejak 1 Januari lalu selain permintaan air harian yang tinggi di perbandaran Air Itam dan kawasan sekitarnya sebelum ini.
Mengulas mengenai pembenihan awan, Jaseni berkata, terdapat tiga objektif utama cadangan operasi pembenihan awan KTA Empangan Air Itam iaitu sebagai langkah pencegahan krisis bekalan air di Air Itam dan kawasan sekitarnya dalam tempoh April hingga Ogos 2022, jika hujan tidak mencukupi dan permintaan air tinggi yang berterusan.
Katanya, pembenihan awan juga akan mengisi semula empangan dengan air mentah sebanyak mungkin sebelum musim hujan September depan.
"Empangan Air Itam hanya boleh diisi semula oleh hujan di kawasan tadahan airnya.
"Kita berharap akan mencapai kapasiti efektif 90 peratus atau lebih tinggi untuk Empangan Air Itam menjelang Disember 2022, sebagai persediaan musim kemarau seterusnya yang sepatutnya bermula dari 1 Januari 2023," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!