Subsidi haji untuk semua jemaah

Idris (kiri) merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan di Kota Bharu sambil disaksikan oleh Mumtaz (dua dari kanan) pada Sabtu.
Idris (kiri) merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan di Kota Bharu sambil disaksikan oleh Mumtaz (dua dari kanan) pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan menegaskan subsidi haji akan diberikan kepada semua individu yang terpilih untuk menunaikan ibadah berkenaan bagi tahun ini walaupun ada cadangan supaya ia diberikan secara bersasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, setakat ini kerajaan masih kekal dengan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

"Kita ada formula tertentu yang akan digunakan berkait dengan perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Idris berkata, duit yang digunakan untuk subsidi haji itu diambil daripada keuntungan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurutnya, ia sama sekali tidak melibatkan wang kerajaan kerana konsep yang diguna berbeza iaitu tabungan dan haji.

Media sebelum ini melaporkan, ada pihak yang mencadangkan supaya melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar dengan keutamaan kepada golongan B40.

Langkah itu susulan kos seorang jemaah muassasah dijangka meningkat hingga RM25,000 dan bayaran jemaah RM9,980, menyebabkan subsidi yang ditanggung TH amat besar.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, jumlah subsidi haji akan ditetapkan kerajaan selepas mendapat jumlah sebenar kuota jemaah yang akan diumumkan oleh Arab Saudi.

Beliau berkata, perkara itu sama sekali tidak akan membebankan para jemaah.

"Kita akan umumkan sekali berapa jemaah perlu bayar bersama jumlah kuota yang kita dapat selepas mendapat keputusan daripada Arab Saudi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!