2,661 keluarga tinggal di tanah rizab Selangor

Rodziah
Rodziah
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 2,661 keluarga peneroka bandar masih tinggal di atas tanah rizab di Selangor setakat Mac 2014.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, jumlah itu sebahagian daripada 50,552 keluarga peneroka bandar yang dibanci pada tahun 2005.

Bagaimanapun menurut Rodziah, golongan tersebut paling banyak dikesan dalam kawasan seliaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) iaitu 963 keluarga, diikuti di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) (407) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) (331).

"Semua pihak berkuasa tempatan diarah mengemaskini maklumat peneroka bandar tahun ini yang tinggal dalam tempoh enam bulan di atas tanah kerajaan atau bukan kerajaan.

"Kemas kini berkenaan berakhir pada 30 Jun 2022," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, berdasarkan hasil semakan kemas kini tersebut, semua Pegawai Pengawal bagi tanah kerajaan membuat perancangan penyelesaian peneroka bandar di atas tanah masing-masing dalam tempoh dua tahun.

"Justeru, kerajaan negeri akan menyalurkan maklumat berhubung stok Rumah Selangorku dan rumah sewa di bawah Skim Smart Sewa untuk ditawarkan kepada peneroka bandar yang terlibat dari masa ke masa," katanya.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, kes peneroka bandar di atas tanah milik persendirian akan ditangani oleh pemilik tanah sama ada ditawarkan dengan projek Rumah Selangorku (RSKU) sedia ada atau menyewa di bawah Skim Smart Sewa di bawah Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerajaan Selangor akan membeli unit Rumah Selangorku yang ditawarkan kepada Peneroka Bandar dan menjual semula unit tersebut kepada mereka melalui Skim Rent To Own atau Skim Selangorku To Ownership (S2-OWN) bagi menangani masalah kesukaran peneroka bandar mendapat pinjaman bank.

"Kaedah ini digunakan seperti penyelesaian yang dilaksanakan melibatkan 249 keluarga peneroka bandar di atas tanah persendirian PJS 1, Petaling Jaya dan 204 keluarga peneroka bandar di Kampung Sri Makmur, Gombak.

"Solusi sama juga dibuat kepada 29 keluarga peneroka bandar Kampung Seri Temenggung, Gombak di atas tanah persendirian Seri Temenggung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!