Malaysia perlu contohi keprihatinan rakyat New Zealand

Raja Bahrain (kiri) bersama Duta New Zealand, Hunter Nottage yang hadir pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, Kuaka Lumpur, hari ini.
Raja Bahrain (kiri) bersama Duta New Zealand, Hunter Nottage yang hadir pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, Kuaka Lumpur, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Reaksi rakyat New Zealand terhadap komuniti Islam yang terlibat dalam serangan dua masjid di Christchurch pada Jumaat, minggu lalu wajar dicontohi, kata Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Menurut beliau, meskipun orang Islam hanya golongan minoriti di negara itu namun keprihatinan masyarakat di sana atas kejadian yang berlaku harus dipuji.

"Kalau dahulu kita gusar nasib minoriti Islam yang tertindas di Perancis, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah lain tetapi, kini di New Zealand yang begitu aman telah digemparkan dengan tragedi pembunuhan 50 orang Islam di dalam masjid.

"Bagaimanapun susulan peristiwa itu, mereka bukan sahaja hadir memberikan sokongan malah, membenarkan azan berkumandang di masjid pada solat Jumaat semasa pengebumian mangsa-mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Raja Bahrain, lebih mengagumkan apabila ribuan yang datang ke majlis pengebumian menunjukkan rasa hormat termasuk golongan wanita bukan Muslim dengan imej bertudung sebagai tanda penghormatan kepada agama Islam.

"Situasi ini jelas mempamerkan bahawa golongan minoriti umat Islam di sana menunjukkan akhlak mulia dan terpuji kepada New Zealand.

"Atas faktor tersebut apabila mereka ditimpa musibah maka rakyat negara itu menunjukkan rasa simpati," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, golongan majoriti di Malaysia wajar mencontohi sikap rakyat New Zealand.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan majoriti patut mengambil sikap lebih bertanggungjawab terhadap apa jua masalah yang dihadapi golongan minoriti.

"Jika rakyat dua negara daripada dua agama berlainan boleh mencari titik pertemuan persaudaraan dalam tragedi yang menyayat hati, kenapa tidak kita (Malaysia) dari satu negara yang sudah berpuluh tahun memahami agama antara satu sama lain?".

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!