Hotel di Pulau Pinang masih kekurangan pekerja

Soon Hin
Soon Hin
A
A
A

BUTTERWORTH - Industri perhotelan di Pulau Pinang menunjukkan permintaan yang baik daripada pelancong namun ketika ini pihak hotel masih mengalami masalah kekurangan pekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, ia berikutan pekerja sebelum ini kekal bekerja di bidang lain iaitu ketika berlaku pandemik Covid-19 dan pekerja ekonomi gig.

"Bagi memastikan industri hospitaliti dan perhotelan ini khususnya berupaya mendepani cabaran ketika negara sedang mengalami era kebangkitan ekonomi ini, saya sarankan agar mereka yang terlibat melakukan rekalibrasi dan proses 'kejuruteraan' dalam industri masing-masing.

"Saya juga turut berharap agar lebih ramai bakat dan tenaga kerja baharu boleh direkrut menerusi ekspo kerjaya 'Jom Cari Kerja' yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkenaan," katanya selepas merasmikan ekspo kerjaya itu di Hotel Ixora, di sini pada Sabtu.

Ekspo kerjaya itu merupakan lanjutan daripada program siri pertama yang diadakan di Georgetown, Sabtu lepas dan 33 pempamer atau pemain industri mengambil bahagian kali ini.

Ia dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) dengan kerjasama beberapa pihak seperti Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA).

Sementara itu, Presiden ATAP Ch'ng Huck Teng yang turut hadir berkata, pihaknya meminta agar subsidi gaji sepanjang tempoh setahun penangguhan pelaksanaan kadar gaji minimum untuk sektor pelancongan dan hospitaliti dibuat secara lebih adil dan seimbang dengan sektor lain.

Katanya, ketika ini kedua-dua industri itu masih dalam proses untuk 'pulih' daripada kegawatan ekonomi susulan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini juga, industri pelancongan dan hospitaliti yang dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum itu cuma menawarkan gaji asas sebanyak RM1,200 sahaja dan ini menyebabkan kami mengalami masalah kekurangan pekerja kerana ramai tidak berminat untuk bekerja di hotel dan lari bekerja di kilang dan sebagainya," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!