Sanusi dedah Azizan nyaris dipenjara kerana Aman Central
ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak nyaris dipenjarakan berikutan menerima saman perintah komital (bagi dipenjarakan) kerana gagal menjawab afidavit terhadap saman berkaitan pembinaan bangunan Aman Central pada tahun 2011.
Perkara itu didedahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas beliau mengimbau kembali kenangan bersama Allahyarham Azizan yang mahu mengubah wajah Bandaraya Alor Setar dengan membangunkan tapak terbengkalai terbabit.
Menurut Muhammad Sanusi, perintah komital tersebut dilakukan oleh pihak yang membantah pembangunan semula Plaza Tunku Yaakob yang merupakan tapak Aman Central yang sebelum ini terbengkalai sejak 34 tahun.
“Saya tak pernah ceritakan sebelum ini, ketika itu saya Setiausaha Politik kepada Azizan bersama Allahyarham hadir ke Mahkamah Tinggi Alor Setar, disebabkan barisan peguam tidak sempat menjawab afidavit, satu pembicaraan untuk perintah komital dikeluarkan.
“Saya ingat lagi Allahyarham Azizan sebut, habislah kita hari ini, aku Menteri Besar masuk dalam (penjara), hang (Sanusi) tunggu luar,” katanya ketika berucap pada pelancaran ‘Tropical Raya Paradise’ dan majlis iftar di Aman Central di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Urusan Belleview Group merangkap pemilik Aman Central, Datuk Sonny Ho.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya bersyukur permasalahan berjaya diselesaikan berikutan bukan berpunca daripada kecuaian Azizan menyebabkan tiada perbicaraan dan pemenjaraan tidak berlaku.
“Ini pengalaman berharga sebelum tersergamnya Aman Central, itulah cabaran dihadapi Allahyarham Azizan ketika itu namun beliau tenang sehinggalah kompleks ini berjaya disiapkan oleh pemaju, Belleview Group,” katanya.
Menurutnya, pelbagai cabaran ditempuhi termasuk daripada kumpulan yang mengadakan demonstrasi di hadapan Menara Alor Setar ketika majlis pecah tanah Aman Central diadakan.
“Kumpulan terbabit mungkin tidak faham tujuan asal pembinaan Aman Central atau mungkin mereka terperangkap kerana tidak faham situasi sebenar.
“Itu antara yang berlaku di sebalik pembinaan Aman Central, namun Allahyarham Azizan tetap tegas mahu bangunkan pusat beli belah ini dan kini menjadi kebanggaan rakyat Kedah, Alor Setar pula menjadi antara ibu negeri yang berdaya saing sekarang," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, Aman Central menjadi bukti ‘Kedah Boleh’ dan impian Allahyarham Azizan untuk mengubah minda dan persepsi orang kita mesti maju akhirnya tercapai.
“Terlalu besar jasa Allahyarham Azizan, setiap kali melihat Aman Central ia menjadi inspirasi dan motivasi kepada saya sendiri untuk laksana perkara yang baik untuk kebaikan rakyat negeri ini.
“Kini ia bukan sekadar pusat membeli belah, tetapi memiliki nilai sentimental yang tinggi buat rakyat Kedah,” katanya.
Tambahnya lagi, cetusan idea Allahyarham Azizan itu adalah untuk memacu ekonomi Kedah agar dapat menarik pelaburan besar dan memberi impak terbaik yang berpanjangan.
“Itu antara sebab kita bangunkan Aman Central yang terbengkalai selama 34 tahun sebelum 2011," tegas Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi turut memuji pengurusan Aman Central yang tidak pernah jemu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membawa pembaharuan dan pemodenan di bandaraya ini.
“Bilangan harian pengunjung ke Aman Central amat memberangsangkan berbanding kompleks lain termasuk di ibu negara. Ini sekaligus memberi jaminan kepada peniaga dalam melangsungkan perniagaan mereka selepas terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya, ini juga membuktikan Kedah merupakan sebuah lokasi strategik terutamanya bagi tujuan pembangunan dan perniagaan bagi pelabur-pelabur luar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!