Kompleks baharu jabatan kesihatan dibina di Terengganu

Khairy Jamaluddin (kanan) membuat lawatan ke tapak cadangan pembinaan Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Wakaf Beruas, pada Sabtu. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin (kanan) membuat lawatan ke tapak cadangan pembinaan Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Wakaf Beruas, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah kompleks baharu yang akan menempatkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan dibina di sini dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, permohonan pembinaan kompleks itu akan dibuat di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 dan jika diluluskan, projek itu akan dimulakan pada 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Beliau berkata, pembinaan kompleks itu adalah bagi memastikan pengurusan perkhidmatan kesihatan lebih bersepadu dan tersusun, memandangkan pejabat-pejabat JKNT ketika ini beroperasi di pelbagai tempat.

"Lokasi ini sangat sesuai kerana ia adalah di kawasan pertumbuhan bandar baharu yang menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Antara yang ada di sini nanti ialah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), Jabatan Kimia, Jabatan Audit dan kawasan ini sangat strategik," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan pembinaan kompleks JKNT dekat Wakaf Beruas di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Cadangan Kompleks JKNT baharu itu ialah setinggi tujuh tingkat di kawasan seluas 3.12 hektar yang menempatkan semua pejabat pentadbiran termasuk makmal kawalan mutu makanan, forensik dan vektor.

Ketika ini, JKNT beroperasi di bangunan Wisma Persekutuan yang dibina sejak 1985 serta beberapa lokasi berasingan sekitar bandar ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!