Struktur semula pinjaman usahawan pelancongan terjejas

Noh (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Anak-Anak Yatim dan Majlis Berbuka Puasa Parlimen Tanjong Karang di Kampung Haji Razali pada Sabtu.
Noh (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Anak-Anak Yatim dan Majlis Berbuka Puasa Parlimen Tanjong Karang di Kampung Haji Razali pada Sabtu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Bank Rakyat dan SME Bank disarankan agar membuat penstrukturan semula pinjaman terhadap usahawan sektor pelancongan yang terjejas berikutan penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, keutamaan seharusnya diberikan kepada penggiat industri pelancongan supaya mereka kembali berdaya saing dan menguruskan perniagaan lebih baik daripada sebelumnya.

"KUSKOP berperanan untuk memastikan usahawan yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19 bangkit terutama mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Anak-Anak Yatim dan Majlis Berbuka Puasa Parlimen Tanjong Karang di Kampung Haji Razali pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, usahawan sektor pelancongan juga digalak merebut peluang untuk mendapatkan pembiayaan Sewa Beli Komersial-i membabitkan pembelian pengangkutan pelancongan.

"Kita ada terima banyak aduan membabitkan sektor pelancongan yang terlibat dalam pengangkutan seperti bas, kereta, feri dan bot yang memerlukan pembiayaan untuk beroperasi.

"Justeru, mana-mana usahawan yang hendak memohon membeli kenderaan komersial bolehlah membuat permohonan terus kepada Bank Rakyat," ujarnya.

Beliau menjelaskan, pembiayaan Sewa Beli Komersial-i dengan peruntukkan RM350 juta itu bukan hanya tertumpu bagi membantu sektor pelancongan semata-mata malah ia turut membantu industri kenderaan komersial lain.

Artikel Berkaitan:

"Usahawan lain yang turut dibantu termasuklah pembelian mesin kilang, jentera sawah padi dan keperluan lain," katanya.