Gaji minimum perlu diperhalusi lagi
KUCHING - Kerajaan diminta memperhalusi lagi pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei ini agar perkara itu tidak terlalu membebankan syarikat serta usahawan industri kecil dan sederhana di negara ini.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, perkara itu perlu dipertimbang termasuk mengambil kira bebanan yang mungkin dihadapi segelintir syarikat atau usahawan terutama yang baharu memulakan perniagaan.
"Saya harap kerajaan dapat memperhalusi pelaksanaan skim gaji minimum ini kerana kita tidak mahu melihat usahawan yang baharu mengembangkan perniagaan dan baharu berjinak-jinak di alam perniagaan terkesan kerana ia mungkin membebankan," katanya selepas merasmikan pejabat Persatuan Segu Bunuk Penrinssen (PSBP) di Kampung Bunuk, Jalan Puncak Borneo di sini, pada Sabtu.
Beliau juga berharap skim gaji minimum akan dilaksana dengan formula situasi menang-menang dan tidak terlalu menekan usahawan.
"Jika mereka ada 1,000 pekerja, mereka perlu bayar gaji minimum RM1,500 dan ini amat membebankan kerana bukan sahaja perlu bayar gaji pokok tetapi juga melihat penambahan caruman Perkeso dan KWSP," katanya.
Willie berkata selain itu, selepas dua tahun berhadapan pandemik Covid-19 dan dalam situasi negara baru membangunkan semula ekonominya, langkah ini akan menambahkan lagi cabaran bagi mereka untuk mematuhi arahan gaji minimum.
Ditanya sama ada pelaksanaan gaji minimum boleh ditangguhkan, beliau berkata perkara itu terpulang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Kabinet kerajaan serta Kementerian Sumber Manusia.
"Secara peribadi, saya mohon supaya mereka pertimbangkan dahulu perkara ini kerana bagi saya, kita hendaklah mengenal pasti apakah masalah pengusaha," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!