Duit raya buat cucu hampir hangus

Keadaan kediaman Robiah yang 90 peratus hangus. (Gambar kecil) Duit raya buat cucu yang hampir hangus.
Keadaan kediaman Robiah yang 90 peratus hangus. (Gambar kecil) Duit raya buat cucu yang hampir hangus.
A
A
A

JEMPOL - Duit raya buat cucu yang disimpan di dalam al-Quran hampir hangus selepas kediaman seorang wanita warga emas di Felda Palong 7 di sini terbakar 90 peratus dalam kejadian kebakaran pagi Sabtu.

Robiah Waris, 64, berkata, wang berkenaan disimpan sejak sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu untuk 18 orang cucunya yang berumur 8 bulan hingga 15 tahun.

"Saya memang sudah berniat untuk bagi cucu duit raya RM20 seorang, kalau ada lebih saya akan beri mereka lebih. Jadi kalau ada RM20 dalam tangan saya terus simpan dan selitkan di dalam al-Quran.

"Dalam kejadian pagi tadi, wang berkenaan berjaya ditemui semula namun keadaannya hampir hangus. Seplastik juga tetapi saya tidak pasti berapa jumlahnya kerana tak pernah kira sejak disimpan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian pada Sabtu.

Menceritakan kembali kejadian itu, Robiah yang juga ibu tunggal melahirkan rasa syukur apabila kejadian yang menimpanya itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

"Saya berada di kebun bersama anak lelaki ketika itu manakala anak perempuan saya, menantu dan empat cucu berada di rumah mentuanya di sekitar Felda Palong 7 ini juga.

"Mereka sebelum itu berbuka puasa dan bermalam di sini, namun bergerak ke rumah mentuanya pagi tadi sebelum dikejutkan dengan kejadian rumah terbakar.

Robiah (kiri) melahirkan rasa syukur kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Robiah (kiri) melahirkan rasa syukur kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Artikel Berkaitan:

"Saya reda dengan ujian ini dan menerima seadanya, tiada siapa yang bersalah dalam hal ini. Apa yang lebih penting semuanya selamat,tiada yang cedera kerana apa yang kita ada ini hanya pinjaman daripada Allah SWT sahaja," katanya yang mendiami Inap Desa GPW Felda Palong 7 bersama anak lelakinya buat sementara waktu.

Sementara itu, Robiah berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan disambut secara sederhana selain mengakui kehadiran anak-anak serta cucunya sudah memadai dan menggembirakannya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hazreen Mohd Zahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.31 pagi dan tiga pegawai dengan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol serta tiga anggota bomba bantuan diarahkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah Felda separuh kekal yang terbakar 90 peratus. Terdapat dua mangsa,seorang wanita warga emas berusia 64 tahun dan anak lelakinya berusia 26 tahun. Bagaimanapun kedua-dua mereka selamat.

"Api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan padam sepenuhnya setengah jam kemudian. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!