PRU15: UMNO Sabah sedia bincang elak bertembung kerusi

Bung Moktar. - Foto Bernama
Bung Moktar. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah bersedia duduk berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk pembahagian kerusi bagi mengelak pertembungan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen untuk dibahagikan.

"Jadi kita akan duduk dengan pemimpin-pemimpin negeri Sabah dalam GRS untuk memastikan bahawa tiada pertembungan antara parti-parti GRS. Ini kalau boleh dielak, kita akan elakkan cuma saya melihat 'trend' hari ni masing-masing menuntut banyak kerusi.

"Jadi sudah tentu ini bukan perkara yang mudah untuk dibincangkan tetapi saya akan duduk juga berbincang dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor), kalau boleh diredakan keadaan," katanya pada majlis berbuka puasa di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, jika berlaku pertembungan antara empat parti sudah pasti akan memberi kesan selepas PRU nanti.

"Sebab sudah tentu kalau pertembungan empat parti ni berlaku, selepas siapa pun yang menang pada pilihan raya, kerajaan negeri pun akan tergugat tidak akan ada keharmonian dalam GRS itu nanti.

"Jadi kita tidak mahu perkara ini berlaku dan diharap kami semua diberi kekuatan daripada semua segi sebab saya lihat perkara ini bukan mudah untuk dibincangkan tetapi saya akan kemukakan juga cadangan dan perbincangan yang baik," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menjangkakan bahawa PRU akan diadakan pada tahun ini juga selepas Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) tamat pada Julai ini.

Artikel Berkaitan:

"Bergantung kepada Perdana Menteri dan lain-lain tetapi kita lihat UMNO berpendapat perlu diadakan PRU tahun ni, selepas MoU.

"Saya tidak pasti bila masanya tetapi mesti tahun ini kita adakan pilihan raya," katanya.

Tambah Bung Moktar lagi, tanpa MoU itu sudah tentu UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu PRU diadakan segera dan ia harus diadakan selepas MoU ditamatkan.

"Kita lihat PRU ini bukan atas kehendak UMNO membentuk kerajaan semata-mata tetapi kita lihat perkembangan ekonomi negara kita, pelabur asing yang kurang, ada juga yang datang tetapi tidak sebegitu diharapkan sebab keyakinan politik itu tidak ada di negara kita.

"Kerana mereka lihat bahawa Malaysia ini sangat rapuh dari segi politik sebab mana-mana parti yang tarik sokongan, Perdana Menteri akan gugur, " katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, jika tiada pilihan raya diadakan lagi maka akan menyebabkan berlaku pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan yang baharu.

"Kita telah melalui tiga kerajaan dalam satu penggal dan ini tidak baik untuk negara, ekonomi dan rakyat.

"Oleh itu, UMNO melihat satu keperluan untuk mendapatkan mandat daripada rakyat untuk membentuk satu kerajaan yang mantap, kuat dan boleh bangunkan ekonomi, rakyat serta menstabilkan keadaan di negara kita," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!