PGA rampas mercun bernilai RM25,990
RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas pelbagai jenis mercun seludup bernilai RM25,990 dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Wawasan Kelantan pada Jumaat dan Sabtu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan dua lelaki berusia 17 dan 20 tahun bagi membantu siasatan.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Tersil, Tanah Merah, PGA menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dan merampas pelbagai jenis mercun yang disembunyikan di dalam sebuah bilik.
"Susulan rampasan pertama, PGA telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit Kelidang, Gual Ipoh dan menahan seorang lelaki berusia 17 tahun serta merampas pelbagai jenis mercun.
"Nilai rampasan keseluruhan mercun dianggarkan berjumlah RM4,590 dan tidak menolak kemungkinan mercun itu untuk pasaran Tanah Merah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Azhari berkata, serbuan ketiga pada Sabtu, PGA merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM6,400 dalam sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang telah ditinggalkan penyeludup di tepi jalan di Kampung Tok Deh di sini.
"Rampasan jam 11 pagi itu dilakukan semasa anggota bertugas melakukan rondaan rutin di kawasan tersebut dan kemudian telah ternampak sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Ketika ditahan, pemandunya telah memecut kereta tersebut sebelum meninggalkannya untuk melarikan diri dan pemeriksaan telah menjumpai pelbagai jenis mercun dengan anggaran nilai pasaran RM6,400," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!