SAM sokong tutup kandang babi tidak patuh syarat lesen

Keadaan sungai yang tercemar disebabkan oleh pembuangan sisa dari kandang babi.
Keadaan sungai yang tercemar disebabkan oleh pembuangan sisa dari kandang babi.
A
A
A

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong dan menyambut baik tindakan kerajaan Pulau Pinang dalam ketegasan yang ditunjukkan terhadap pengusaha ladang babi yang tidak mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016 sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau dan sumber air.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, pihaknya menyokong langkah-langkah yang diambil iaitu menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen.

Menurutnya, langkah itu dilihat paling berkesan bagi menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada ladang babi.

"Dilaporkan bahawa bermula Januari tahun ini, kerajaan negeri akan menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen.

"Kita amat menyokong langkah ini kerana selain menyebabkan pencemaran parit; sungai, laut serta persekitaran kawasan, operasi ladang babi yang melanggar peraturan telah menyebabkan kacau ganggu pada penduduk dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin pada 11 April lalu tentang kebersihan sungai harus dipandang serius.

"Beliau mengatakan antara kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh pengusaha ladang adalah kandang mestilah tertutup dan mempunyai pengurusan sisa kumbahan ladang.

"Beliau juga menyatakan ramai pengusaha yang tidak ambil peduli tentang syarat ini yang mana kita memerlukan sungai yang bersih sekiranya kita bergantung kepada sumber air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi SAM, perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa berkenaan kerana apa yang dinyatakan oleh Norlela adalah berasas.

"Ini kerana, berdasarkan hasil tinjauan SAM sebelum ini mendapati sebilangan operasi ladang ternakan babi sememangnya tidak mengikut piawaian serta syarat yang telah ditetapkan yang menyebabkan pencemaran," katanya.

Meenakshi berkata, terdapat dalam kalangan pengusaha ladang babi dengan sewenang-wenangnya melepaskan sisa kumbahan yang tidak terawat ke dalam saliran sedia ada sehingga mengeluarkan bau yang sangat tidak menyenangkan.

"Masalah seperti ini jelas berlaku di beberapa buah kawasan titik panas (hotspot) antaranya Kampung Selamat; Gertak Sanggul; Valdor, Simpang Ampat dan Sungai Jawi.

"Seperti satu kes yang tular baru-baru ini membabitkan pencemaran air dan bau busuk yang didakwa berpunca daripada ladang babi di Gertak Sanggul, yang mana pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga telah memberi maklum balas terhadap perkara ini. Pihak kementerian juga meminta pihak berkuasa negeri meneliti dan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Tambahnya, SAM menggesa pihak berkuasa berkenaan antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV); Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertindak tegas terhadap penternak babi yang tidak mematuhi undang-undang.

Sebelum ini, Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, JAS telah melakukan siasatan dan mendapati punca pencemaran di Sungai Gertak Sanggul adalah disebabkan pelepasan air sisa daripada dua ladang ternakan babi di Mukim 8, Gertak Sanggul.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!