70 tahun gemilang SMK Sri Perhentian

Pelajar ceria menerima duit raya.
Pelajar ceria menerima duit raya.
A
A
A

PONTIAN - Perancangan padu diperlukan bagi membangunkan sesebuah sekolah lebih-lebih lagi jika sekolah itu merupakan terkemuka dan penuh dengan sejarah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian.

SMK Sri Perhentian yang sudah berusia 70 tahun merupakan institusi pendidikan terawal di daerah ini.

Tidak hairanlah SMK Sri Perhentian sering mendapat perhatian disebabkan reputasi dan prestijnya yang telah melahirkan ramai tokoh berwibawa seperti Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Usaha menjadi sekolah terus unggul bukanlah mudah. Usaha berkenaan menuntut kesungguhan, kerjasama jitu dan perancangan rapi dari semua pihak baik daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pengurusan sekolah.

Selain itu alumni sekolah juga memainkan peranan menjadi pelengkap kepada usaha yang membangunkan sekolah.

Langkah ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2025 yang mahu kerjasama lebih erat komuniti, masyarakat dan sektor swasta dalam pembangunan pendidikan negara.

Pada tahun ini, SMK Sri Perhentian meraikan ulang tahunnya yang ke-70. Serentak dengan itu Majlis Makan Malam Jubli Platinum diadakan di Dewan Nostalgia.

Dijangka seramai 400 orang terdiri dari alumni, wakil badan korporat dan anggota komuniti setempat akan menghadiri makan malam yang akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Artikel Berkaitan:

Namun tujuan lebih besar Majlis Makan Malam Jubli Platinum ini diadakan bagi mengutip dana membina gelanggang bola keranjang tertutup dan meningkatkan kemudahan pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Abdul Rahman
Abdul Rahman

Pengetua, Abdul Rahman Salleh berkata, selain dapat mempertautkan kembali hubungan bekas pelajar, majlis tersebut juga dapat membantu sekolah dengan kutipan dana.

Katanya, idea mengadakan majlis makan malam ini muncul sejak setahun yang lepas iaitu ketika PIBG di bawah pimpinan Zulkifly Tasrep yang kini merupakan Pengerusi Penyelaras DUN Benut.

“Pihak sekolah amat mengalu-alukan majlis makan malam ini diadakan ini memandangkan kali terakhir diadakan kira-kira 10 tahun lalu.

“Cadangan mengadakan majlis makan malam ini diteruskan oleh Yang Dipertua PIBG yang baharu iaitu Lim Ah Heng yang cukup bersemangat dan memberikan banyak idea-idea baharu.

“Pihak sekolah amat berbesar hati dengan sokongan diberikan Pengerusi Gabungan Kaum Tiong Hua, Datuk Tan Chin Hock yang bertindak sebagai penasihat majlis makan malam amal,” katanya.

Mengulas tentang pengisian program, jelasnya pelbagai acara menarik diadakan seperti persembahan gamelan, tarian tradisional masyarakat berbilang kaum, persembahan artis tempatan iaitu Yise Loo yang merupakan bekas pelajar sekolah.

Selain itu, acara khas bagi penderma turut diadakan iaitu mereka akan mengetuk gong.

Sementara itu, Lim Ah Heng berkata, biarpun majlis makan malam amal itu diadakan dalam keadaan ekonomi negara sedang mengalami namun ia tetap menerima sokongan dari pelbagai pihak yang tampil menghulurkan dana.

Ah Heng
Ah Heng

Katanya, sebagai sebuah sekolah yang sudah lama bertapak di daerah ini, pastinya ramai bekas-bekas pelajar yang telah berjaya dan mahu menyumbang kepada pembangunan sekolah.

Justeru, mereka boleh melakukannya dengan menyertai majlis makan malam amal tersebut.

“Tanggungjawab membangunkan sekolah bukan terletak pada kerajaan sahaja. Semua pihak termasuk bekas alumni, anggota komuniti, badan-badan korporat, persatuan dan sebagainya perlu bersama-sama dalam hal ini.

“Majlis makan malam amal ini merupakan contoh terbaik, kita membantu kerajaan membangunkan infrastruktur dan membina kemudahan baharu iaitu gelanggang bola keranjang di sekolah,” katanya.

Jelasnya, pembinaan gelanggang bola keranjang memerlukan kos sebanyak RM500,000.

“Apabila siap kelak, gelanggang bola keranjang dengan kemudahan lengkap seperti lampu limpah, pentas, tempat duduk dan tandas ini juga boleh digunakan oleh orang awam.

“Gelanggang bola keranjang secara tertutup ini juga boleh disewa bagi kegunaan majlis perkahwinan dan sebagainya. Hasil dari sewaan itu akan digunakan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur sekolah,” katanya.

Penasihat Majlis Makan Malam Amal Jubli Platinum, Datuk Tan Chin Hock berharap sasaran kutipan bagi menampung kos pembinaan gelanggang bola keranjang baharu akan tercapai pada majlis makan malam amal tersebut.

Chin Hock
Chin Hock

“Lebih 30 persatuan Tionghua dijemput hadir ke majlis makan malam amal itu dan kita harap mereka dapat membantu dengan menghulurkan sumbangan.

“Saya harap pihak sekolah dapat menganjurkan sekali lagi majlis makan malam amal pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!