Guru hilang ketika memukat ditemui lemas
SETIU - Seorang guru yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika sedang memukat ikan di kawasan muara sungai Kuala Baru dekat Kampung Mangkuk di sini ditemui lemas pada awal pagi Ahad.
Mayat Sugani Yasin, 51, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buluh dekat Permaisuri di sini, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jam 12.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mayat Sugani dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seorang guru dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika sedang memukat ikan di kawasan muara sungai Kuala Baru dekat Kampung Mangkuk di sini pada Jumaat malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Sugani dikatakan telah menaiki bot dari Kampung Fikri ke lokasi tersebut bersama 14 rakannya yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!