Lelaki hina Nabi Muhammad perlu mohon maaf
SHAH ALAM- Dewan Pemuda Pas Malaysia mendesak agar individu yang menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook miliknya memohon maaf.
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar menyifatkan tindakan lelaki itu yang juga seorang penulis sangat tidak sensitif terhadap umat Islam.
Selain itu, ia menggambarkan sikap ekstrem dan tidak menghormati perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi tunjang pembinaan negara kita.
"Ramadan bagi umat Islam di Malaysia telah dicemari oleh kebiadabannya. Apakah beliau ini tidak tahu atau buat-buat tidak tahu, apa yang dikatakan beliau itu adalah suatu fitnah jahat dan penghinaan buat umat Islam?
"Pemuda Pas berasa jelek dengan kebiadaban ini dan mendesak penulis tersebut menghormati umat Islam Malaysia serta memohon maaf atas kebiadabannya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelas Nadzir, penulis itu perlu disiasat menurut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 di atas tindakan melampau itu.
Pemuda Pas katanya, akan menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa dalam menentukan hukuman yang setimpal terhadap individu yang biadab ni.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!