‘Penguat kuasa perlu ada integriti ‘
Semua itu memerlukan kerjasama dan pengorbanan sebagai satu pasukan di bawah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) seluruh negara.
Bagi Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, tiada isu yang tidak dapat diselesaikan jika pegawai dan anggota penguat kuasa yang diamanahkan terus komited dan menjaga integriti memikul amanah dan tanggungjawab serta adil di dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Ikuti temubual khas bersama beliau oleh wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin dan Muhammad Amnan Hibrahim serta jurufoto Mohd Halim Wahid di Menara KPDNHEP Presint 2, Putrajaya.
SH: Sebagai permulaan boleh tuan terangkan serba sedikit sejarah penubuhan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP yang menjadi tulang belakang kementerian ini?
AZMAN: Penubuhan bahagian penguat kuasa ini adalah berasaskan dua ordinan sebelum merdeka yang dinamakan sebagai Ordinan Kawalan Harga 1946 dan Ordinan Kawalan Bekalan 1947. Jadi kedua-dua ordinan ini sangat mustahak untuk dilaksanakan sebab ketika itu pelbagai isu berlaku sebelum merdeka. Badan yang bertanggungjawab ke atas kawalseliaan ini ialah Jabatan Kawalan Harga sehingga ia digabungkan dengan Jabatan Bekalan pada tahun 1947. Pada bulan April 1956, Jabatan Bekalan ini telah diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan yang baru ditubuhkan ketika itu. Kita ada pelbagai isu dalam negara termasuk berkaitan bekalan dan juga harga. Pada masa itu juga kerajaan memperkenalkan stok makanan utama iaitu beras.
Di awal penubuhannya, tugas dan tanggungjawab kementerian ini tertumpu kepada bidang perdagangan dan mengawasi prestasi eksport barang-barang utama Persekutuan Tanah Melayu, menggalakkan perindustrian melalui Seksyen Pembangunan Industri, mentadbir rancangan kerajaan ke atas RIDA (Rural and Industrial Development Authority) dan Lembaga Letrik Negara serta mengawasi ‘Government Reserve Stock for Rice’. Pada awal 1971, para pegawai ini dilantik ke jabatan baharu iaitu Lembaga Padi Beras Negara. Ini menyebabkan Ordinan Kawalan Harga dan Ordinan Kawalan Bekalan tidak dapat dikuatkuasakan kerana ketiadaan kakitangan. Pada masa yang sama dunia berhadapan dengan krisis ekonomi akibat kenaikan harga minyak, inflasi di kebanyakan negara naik dengan teruk dan pada 1969 hingga 1971 ada beberapa isu termasuk banjir besar.
Semua ini memberi gangguan kepada bekalan dan harga barang dan kempen daripada kerajaan pada masa itu termasuk kempen kami yang paling popular iaitu kempen anti sorok. Pada ketika itu orang banyak menyorok barang kawalan sebab harganya agak mahal dan kesukaran untuk mendapatkan bekalan. Jadi rentetan masalah itu, maka timbullah usul untuk mewujudkan satu badan khas untuk mengawal selia isu bekalan dan harga. Maka tertubuhnya badan penguat kuasa iaitu pada 17 April 1972.
Sepanjang tempoh 50 tahun ini sudah tentu banyak transformasi yang telah berlaku di era kepimpinan tuan. Apakah antara transformasi itu?
AZMAN: Saya fokuskan kepada keutamaan kami selaras dengan aspirasi kerajaan dan negara. Pertama, untuk menambahkan lagi keberkesanan tugas kami menggunakan pelan digitalisasi. Kini, pegawai kami menggunakan gadget yang khusus untuk memastikan tugas penguatkuasaan dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan. Mulai tahun 2020, gadget itu diperkenalkan di setiap urusan ataupun aktiviti pegawai penguat kuasa dan dapat terus dilihat oleh bilik gerakan pusat penguatkuasaan kami di ibu pejabat. Dari situ kami dapat mengatasi masalah seperti contoh orang menyamar jadi penguat kuasa. Melalui digitalisasi ini kami dapat menyelesaikan segala bentuk pertanyaan berkaitan tindakan dan sebagainya. Dulu, pihak kami terpaksa tunggu sehingga pegawai kembali ke pejabat untuk mengemukakan laporan. Kami juga merancang untuk memperkukuhkan lagi seksyen yang berpatutan dengan digitalisasi ini supaya lebih berupaya menangani isu-isu terutamanya dalam transaksi atas talian dan sebagainya.
Kedua, berkaitan pemakaian uniform. Pada awal penubuhan, pegawai hanya berpakaian preman dan selepas itu kami mula memakai ‘vest-vest’ tertentu. Ketika mengenakan vest, impak terhadap perniagaan dan premis-premis yang kita lawati itu tidak begitu berkesan. Jadi pada 2014 kami mula memperkenalkan uniformseperti sekarang. Impaknya lebih berkesan dan menyerlahkan lagi identiti penguatkuasaan. Di manapun pegawai bertugas, uniform ini dapat menonjolkan kami sebagai penguat kuasa. Ketiga, penguatkuasaan dari segi modal insan. Pada awalnya, hanya 12 orang pegawai yang bertugas di seluruh negara. Pada 1981 negara berhadapan dengan krisis kenaikan harga barang dan inflasi yang agak tinggi. Pegawai bahagian penguat kuasa ditambah lebih 300 orang pada tahun itu. Bermula tahun 2002, kita membuat pengambilan untuk jawatan pembantu penguat kuasa gred KP19.
Sempena ulang tahun ke-50 Hari Penguat Kuasa KPDNHEP tahun ini, apakah fokus bahagian penguat kuasa dalam mendepani cabaran isu pengguna dan peniaga dalam negara?
AZMAN: Mengawal selia bekalan dan harga barang adalah satu topik yang kita katakan ‘never ending’. Isu ini sepanjang zaman dan kami menggunakan pengalaman 50 tahun dalam menguatkuasakan akta ini. Melalui data bermula 18 Mac 2020 sehingga penghujung Februari tahun ini, kami terima lebih kurang 24,510 aduan yang perlu disiasat oleh 2,000 pegawai penguat kuasa. Aduan itu mewakili 36.5 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang perlu disiasat. Alhamdulillah, berkat komitmen dan latihan serta sokongan pengurusan atasan dan agensi yang lain menjadikan lebih 90 peratus daripada aduan dapat diselesaikan. Dalam usaha kami melindungi pengguna pelbagai rintangan kami hadapi. Pertama, dari segi kekangan untuk mengejar teknologi baharu di luar dan kedua, mengesan teknik atau modus operandi yang digunakan orang yang melakukan kesalahan.
Walaupun kerajaan khususnya KPDNHEP telah memperkenalkan skim khas untuk minyak masak iaitu Skim Penstabilan minyak masak (COSS) dan kami mengekalkan jumlah 60,000 metrik tan sebulan, tetapi kebelakangan ini jumlahnya tidak cukup. Ini disebabkan permintaan yang sangat tinggi di pasaran. Kerajaan juga dalam masa sama telah mula memperkenalkan subsidi kepada minyak masak botol. Ini adalah inisiatif baharu dijalankan oleh pihak KPDNHEP untuk memastikan
rakyat sentiasa mendapat perlindungan dan diberi kemudahan. Ia melibatkan satu jumlah subsidi yang sangat tinggi.
Tugas kami untuk memastikan subsidi itu sampai kepada golongan sasar dan apabila subsidi ini menawarkan satu harga yang sangat tinggi dengan harga industri, kami perlu memastikan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini tidak mengganggu bekalan dalam negara. Inilah cabaran kami dalam isu minyak masak. Harga minyak masak untuk botol maksimum ialah RM29.30 untuk 5 kilogram (kg), RM18.70 (3 kg), RM12.70 (2 kg) dan RM6.70 (1 kg). Manakala untuk minyak masak paket pada harga RM2.50. Di negara luar harganya berlipat kali ganda.
Apakah kejayaan yang dicapai dalam konteks mengawal selia bekalan dan harga barang?
AZMAN: Kementerian ini mempunyai banyak akta dan antara bahagian yang paling banyak akta perlu dikuatkuasakan. Kami kuatkuasakan mengikut keperluan dan pengkhususan akta. Untuk mengawal selia bekalan dan harga, terdapat dua akta utama yang dikuatkuasakan iaitu Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Di bawah peruntukan undang-undang AKB 1961 inilah kita mewartakan sesuatu barang sebagai barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung LPG dan sebagainya dan terbaharu kita kuatkuasakan juga kit ujian RTK dan topeng muka. Semua ini untuk memastikan rakyat tidak susah. Perlindungan kepada pengguna akan sentiasa dilaksanakan.
Saya berterima kasih kepada agensi terutamanya di sempadan negara kerana hasil kerjasama erat mereka termasuk Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) angkatan tentera dan sebagainya, kita dapat mengekang kegiatan haram. Walaupun kita tidak mampu melumpuhkan sepenuhnya aktiviti ini tapi sekurang-kurangnya kita dapat mengekang atau mengurangkannya.
Bermula 2018 hingga Februari 2022, di bawah Akta Kawalan Bekalan ada sebanyak 2,283 kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM69.43 juta. Kami juga dapat kerjasama orang ramai yang melaporkan aktiviti tersebut. Di bawah akta yang sama, dalam usaha membanteras penyelewengan di pintu sempadan, kita ada sebanyak 708 kes yang dihasilkan dalam tempoh sama melibatkan nilai sitaan sebanyak RM25.08 juta. Di bawah AKHAP 2011, sebanyak 1,540 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1.69 juta. Kes yang kita hasilkan ini berakhir sama ada melalui tindakan mahkamah ataupun kompaun. Kami di KPDNHEP akan pasti siasatan dilakukan hingga ke akhirnya.
Apakah kejayaan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dalam isu melindungi pengguna?
AZMAN: Kami memberi perlindungan dengan cara pemantauan melalui perniagaan, transaksi secara dalam talian dan kes-kes melibatkan isu halal. Dua isu ini amat penting bagi memastikan pengguna yang melakukan pembelian secara dalam talian dipelihara dan memastikan pengguna terutamanya yang beragama Islam dapat membeli barang-barang keperluan yang mempunyai status halal yang diyakini. Berdasarkan statistik penguatkuasaan bagi kes-kes melibatkan secara dalam talian bermula 2018 sehingga Februari tahun ini, sebanyak 36 kes telah diselesaikan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM454,900. Manakala bagi kes-kes halal dalam tempoh yang sama, sebanyak 304 kes diselesaikan melibatkan nilai rampasan bernilai RM1.83 juta.
AZMAN: Selain isu bekalan, harga barang, antipencatutan, transaksi dalam talian dan halal, melindungi hak intelek merupakan perkara penting yang kami utamakan supaya suasana perniagaan di dalam negara ini lebih adil selain memberi keyakinan pelabur asing atau tempatan untuk melabur semakin meningkat. Di dalam memelihara hak harta intelek, kami menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019; Akta Perihal Dagangan 2011; Akta Hakcipta 1987; Akta Cakera Optik 2000 melibatkan isu cetak rompak dan barang tiruan.
Berdasarkan statistik tahun 2018 sehingga Februari tahun ini bagi membasmi isu cetak rompak, sebanyak 1,354 premis telah diperiksa di seluruh negara. Sebanyak 509 kes dengan nilai rampasan RM5.4 juta melibatkan Akta Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010, Akta Hakcipta 1987 dan Akta Cakera Optik 2000. Bagi menangani isu barang tiruan, tindakan melibatkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dangangan 2011. Bermula 2018 sehingga Februari tahun ini, sebanyak 2,624 kes barang tiruan telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM70.17 juta di seluruh negara.
Difahamkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP juga menguatkuasakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Wang Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). Apa pencapaian dan kejayaan yang diperolehi?
AZMAN: KPDNHEP juga menguatkuasakan AMLATFPUAA 2001 bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan dan memberi pengajaran kepada penjenayah supaya tidak terus mengulangi jenayah yang dilakukan. Bermula 2018 sehingga Februari tahun ini, sebanyak 34 kes telah dikesan dengan masing-masing 17 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, 14 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan tiga kes di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993. Sepanjang tempoh itu juga, sejumlah RM56 juta pelucuthakan melalui pendakwaan telah berjaya direkodkan manakala RM2.10 juta pula pelucuthakan tanpa melalui pendakwaan direkodkan melibatkan nilai denda yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah berjumlah RM12 juta. Selain itu, sebanyak RM40.63 juta pembekuan aset harta alih dalam institusi kewangan melibatkan kes AMLA juga telah direkodkan oleh bahagian ini dalam tempoh yang sama.
Bagaimana pihak KPDNHEP menguruskan aduan berkaitan pengguna supaya semua aduan dapat disiasat dengan baik?
AZMAN: Pengurusan aduan memang diberi keutamaan kerana ia melibatkan kepentingan dan kesejahteraan pengguna. Melalui pelbagai medium dan saluran yang disediakan oleh kementerian, pengguna lebih mudah melaporkan aduan berkaitan salah laku peniaga supaya tindakan lebih pantas dan efektif dapat dilakukan oleh bahagian penguat kuasa. Dalam tempoh 2018 sehingga Februari tahun ini, sebanyak 113,050 aduan telah diterima iaitu pada 2018 sebanyak 25,440 aduan, 2019 (21,673 aduan), 2020 (34,525 aduan), 2021 (27,322 aduan) manakala sehingga Februari tahun ini sebanyak 4,090 aduan telah diterima. Aduan yang diterima melibatkan transaksi dalam talian, harga, perkhidmatan mengelirukan, barang kawalan, cetak rompak, barang tiruan, halal dan sebagainya. Setiap aduan akan disiasat oleh pegawai penyiasat dalam tempoh 21 hari dan hasil tindakan siasatan akan dilaporkan terus kepada pengadu melalui portal e-aduan kementerian.
Apakah cabaran pihak penguat kuasa dalam mendepani cabaran isu pengguna dan peniaga?
AZMAN: Sehingga kini seramai 2,234 pegawai dan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugasan penguatkuasaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara. Jika dibandingkan dengan jumlah perniagaan yang berdaftar di seluruh negara, anggota penguat kuasa tidak mencukupi. Namun, kami komited melakukan tugas dan melakukan pemantauan secara menyeluruh. Bahagian penguat kuasa juga berhadapan cabaran kenaikan harga input barang terutamanya yang diimport dari luar negara sekali gus memberikan kesan langsung terhadap perubahan harga barangan di dalam negara. Contohnya, isu kenaikan harga ayam dan telur ayam yang berlaku sekitar 2021 berpunca daripada pembukaan sepenuhnya sektor peruncitan dan pengedaran secara berperingkat menyebabkan permintaan dalam pasaran yang mendadak sehingga menjejaskan bekalan dan harga ayam.
Apakah harapan dan nasihat tuan kepada pengguna dan peniaga sempena ulang tahun jubli emas Hari Penguat Kuasa KPDNHEP ini?
AZMAN: Harapan saya sudah tentunya ingin menjadikan agensi penguatkuasaan KPDNHEP disegani dan setanding dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam konteks perdagangan yang sihat. Saya juga berharap pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP terus komited dan menjaga integriti dalam memikul amanah dan tanggungjawab serta adil pada setiap tindakan yang dilakukan. Para peniaga pula perlu terus mematuhi sepenuhnya undang-undang yang ditetapkan. Kami di sini bukan bertujuan menyekat semua tindak tanduk peniaga tetapi kami bertanggungjawab memastikan suasana perniagaan lebih adil dan kondusif selain memastikan ekonomi domestik dinikmati oleh semua golongan usahawan dan peniaga.
Pengguna pula perlu lebih bijak menguruskan perbelanjaan harian termasuklah merancang dan menggunakan sepenuhnya hak-hak supaya tidak mudah dimanipulasi oleh segelintir peniaga yang tidak beretika dan bertanggungjawab. Manfaatkan kemudahan yang disediakan kementerian seperti aplikasi Price Catcher untuk merancang perbelanjaan harian pengguna. Pengguna boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian melalui saluran berikut: WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; Ez ADU KPDNHEP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!