PGA rampas 2,461kg beras seludup
TANAH MERAH - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas 2,461 kilogram (kg) beras seludup yang dipercayai untuk bekalan Hari Raya Aidilfitri selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Lalang Pepuyu di sini, pada Sabtu
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan jam 11.15 malam, pihaknya turut merampas 450 kg beras pulut dan 75 kg beras nasi dagang yang disembunyikan di dalam rumah berkenaan.
"Siasatan awal mendapati permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan menjadi punca kemasukan beras seludup ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, nilai rampasan kesemua beras itu dianggarkan bernilai RM15,744.
Beliau berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Lubok Setol untuk tindakan lanjut dan kes disasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994.
Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis mercun seludup dianggarkan berjumlah RM29,135 dalam serbuan di Kuala Jambu, Tumpat.
Katanya, serbuan jam 5.45 pagi itu dilakukan anggota dari Batalion 9 PGA Kuala Terengganu.
"Bagaimanapun kumpulan penyeludup itu berjaya meloloskan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota PGA dan meninggalkan kotak-kotak mengandungi mercun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!